Selasa, 26 April 2011

*PROGRAM JAYAWARIS 2011*


Pada hari Sabtu, 9 April 2011 jam 8.15 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat, SK Mohd Khir Johari telah diadakan program Jayawaris untuk ibu bapa murid-murid Tahun 6 KRK1 (Kelas Rancangan Khas) dan 6 KRK2.  Dua buah kelas ini merupakan kelas harapan untuk mencapai sasaran 5A dalam UPSR sekaligus mencapai sasaran sekolah pada tahun ini iaitu "Terbaik Dalam Sejarah SKMKJ".   Taklimat pada pagi itu telah disampaikan oleh...

En. Mohd Shukri b. Sultani, GPK Kurikulum, SK Mohd Khir Johari.


Tujuan program ini diadakan adalah untuk :
  1. Memberi pendedahan kepada ibu bapa atau waris murid berkenaan tentang prestasi dan kedudukan sebenar anak-anak mereka dalam peperiksaan penilaian serta usaha yang perlu dipertingkatkan agar dapat mencapai keputusan yang benar-benar cemerlang dalam UPSR 2011.
  2. Berkongsi pendapat atau maklumat penting di antara guru-guru dan pihak ibu bapa tentang prestasi  anak-anak mereka.
  3. Mendapat kerjasama daripada ibu bapa dalam memberikan bimbingan akademik serta sahsiah kepada anak-anak.
  4. Untuk memberi galakan dan memupuk semangat di kalangan ibu bapa dalam memberi bimbingan akademik di rumah.

Program Jaya Waris ini merupakan salah satu program usahasama dengan pihak pentadbiran sekolah,guru-guru tahun 6 KRK 1 dan 6 KRK 2 serta Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari. Semasa sesi pendaftaran dijalankan, ibu bapa dikehendaki mengisi butiran-butiran yang diperlukan seperti nama, nombor telefon dan sebagainya. 



Pada tahun ini, Tahun 6 KRK 1 dan 6 KRK 2 masing-masing mempunyai 33 orang murid dalam satu kelas dan menjadikan jumlah besar murid untuk kedua-dua kelas ini ialah seramai 66 orang. Seramai 33 orang ibu bapa telah hadir ke program tersebut. Manakala 33 orang lagi tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.



En. Md. Shukri Bin Sultani mengalu-alukan kedatangan ibu bapa ke sekolah dalam menjayakan Program Jaya Waris Tahun 6 KRK ini.  Seterusnya, beliau memberikan penerangan tentang prestasi murid-murid Tahun 6 KRK dengan  menggunakan ‘Data Headcount’.  Berdasarkan "Data Headcount’ ini, semua ibu bapa dapat melihat dengan jelas prestasi anak-anak mereka berdasarkan peperiksaan-peperiksaan sebelum ini.

‘Data Headcount’ ini dipaparkan dengan menggunakan LCD supaya ibu bapa dapat melihat dengan jelas. Di samping itu juga, ibu bapa diberi peluang untuk memberikan pendapat atau mengemukakan soalan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan sepanjang penerangan diberikan.  Selain itu, Guru Penolong Kanan 1 turut berkongsi bahan motivasi dari pakar motivasi terkenal Dato’ Dr. Hj. Fadzilah Kamsah tentang cara-cara mendidik anak dan amalan-amalan yang berguna untuk anak-anak menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Pada jam 11.30 pagi, program diteruskan dengan menjemput wakil ibu bapa iaitu En. Mohd Azman yang merupakan waris kepada murid 6 KRK 2 Nur Amirah Bt Mohd Azman. Beliau merupakan salah seorang daripada Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Johor.  Beliau memberi pendedahan tentang kelayakan dan panduan kemasukan anak-anak ke sekolah-sekolah mengikut aliran semasa. Sebelum program ini ditamatkan, ibu bapa  diberikan peluang untuk mencoretkan kata-kata perangsang untuk anak-anak mereka di atas kain rentang yang disediakan oleh pihak sekolah.Pihak sekolah telah menghasilkan dua kain rentang bagi mewakili dua kelas tahun enam iaitu 6 KRK 1 dan 6 KRK 2. Kain rentang ini merupakan simbolik galakan untuk anak-anak mereka agar dapat merealisasikan harapan sekolah untuk mendapat 5A dalam UPSR  pada tahun ini. 

Di atas kain rentang ini  turut disertakan bersama foto setiap murid dari 6 KRK 1 dan 6 KRK 2. Pelbagai kata-kata semangat yang cukup memberangsangkan dicoretkan oleh para ibu bapa di atas kain rentang tersebut.Ia bertujuan membakar semangat anak-anak mereka agar lebih berusaha mencapai yang terbaik dalam UPSR pada tahun ini.Program Jaya Waris ini selesai pada jam 12.00 tengahari dan semua ibu bapa menikmati jamuan ringan yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan