Memaparkan catatan dengan label Hari Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Guru. Papar semua catatan

Khamis, 17 Mei 2012

SAMBUTAN HARI GURU 2012 DAN MAJLIS PERPISAHAN

Tanggal 16 Mei tahun 2012 mempunyai sejarahnya tersendiri.  Manakan tidak, pada tahun ini, murid-murid dan guru-guru menyambut dua acara iaitu Hari Guru dan majlis perpisahan untuk Guru Besar yang disayangi iaitu En. Zamani b. Hj. Ahmad.  Beliau yang telah menabur jasa di sekolah ini akan berpindah ke SK Seri Kenanga. Pelbagai kejayaan dalam kurikulum dan kokurikulum telah dicapai oleh sekolah sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini. Peningkatan dalam pencapaian UPSR, pembinaan pagar sekolah, dewan terbuka, naik taraf pusat sumber dan naik taraf bilik guru antara usaha beliau yang akan kekal menjadi kenangan.


Tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, memberi cabaran kepada para pendidik untuk menyediakan golongan berilmu yang mampu bersaing dalam zamannya. Tanpa inovasi, kita akan ketinggalan.  Era teknologi dan dunia tanpa sempadan, memerlukan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran, bermaklumat dan berinovasi.


Majlis pada pagi hari Rabu, 16 Mei 2012 dimulakan dengan akviti sukan. Guru-guru perempuan bermain aktiviti sukaneka seperti membawa bola hoki dengan gelung rotan dan berjalan di atas batu.  Sementara itu, guru-guru lelaki bermain sepak takraw.  Murid-murid memberi tepukan semangat kepada guru-guru yang mengambil bahagian.


Kira-kira jam 10.00 pagi, perhimpunan rasmi Majlis Sambutan Hari Guru 2012 diadakan.  Guru-guru diarak dengan paluan kompang masuk ke dalam dewan sekolah dan disambut pula dengan persembahan tarian zapin oleh ahli Kelab Tarian dan Kebudayaan SKMKJ. Selesai persembahan tarian, majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan nyanyian 3 buah lagu dan bacaan perutusan.  Kemudian, wakil murid menyampaikan ucapan. Ini diikuti dengan deklamasi sajak, nasyid dan koir bagi memeriahkan suasana pada pagi itu.



Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar guru dan nyanyian rangkaian tiga buah lagu istimewa iaitu lagu tema, lagu Hari Guru dan lagu "Biarku menjadi lilin".  Kemudian, murid-murid mendengar ucapan khas daripada En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari yang akan berpisah meninggalkan warga SKMKJ. Pada akhir majlis sambutan Hari Guru yang  diadakan di sekolah, pihak sekolah dan panitia menghadiahkan cenderamata jasamu dikenang kepada guru besar.  Majlis bersalam-salaman antara guru-guru dan guru besar serta murid-murid mengakhiri majlis pada tengah hari itu.


Acara jamuan guru-guru pada petang itu diadakan di Hotel Tropikal Inn.  Majlis pada tahun ini diadakan secara sederhana tetapi tetap meriah.  Tuan Guru Besar diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terakhir kepada guru-guru dan kakitangan SKMKJ.  Apabila bacaan biodata dan penghargaan untuk En. Zamani b. Hj. Ahmad disampaikan, ramai yang turut bersedih.  YDP PIBG dan Pengerusi Kelab Guru juga menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.  Selain itu, majlis jamuan di hotel ini juga diisi dengan aktiviti penyampaian cenderamata dan hadiah untuk guru-guru.


Sebelum berpisah, warga SKMKJ mengambil gambar kenangan bersama guru besar kesayangan mereka. "Sayonara" En. Zamani b. Hj. Ahmad.  Panjang umur bertemu lagi. Semoga sihat dan bahagia selalu.

Terima kasih daun selasih. Buat baik Allah kasih.
Terima kasih daun siantan. Budi baik dalam ingatan.

Khamis, 26 Mei 2011

*SAMBUTAN HARI GURU 2011*


Pada hari Isnin, 16 Mei 2011 bertempat di Dewan Terbuka SK Mohd Khir Johari telah diadakan satu majlis Sambutan Hari Guru bagi tahun 2011.   Majlis telah dimulakan dengan perarakan masuk guru-guru ke dalam dewan diikuti dengan paluan kompang.   Majlis pada kali ini diacarakan oleh ...

Jumaat, 21 Mei 2010

*SAMBUTAN HARI GURU 2010*

Pada hari Isnin, 17 Mei 2010, Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru bagi meraikan guru-guru tersayang yang selama ini menjadi peneraju kejayaan dan kemajuan sekolah. Majlis dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan perbarisan masuk guru-guru diikuti paluan kompang.

Selesai sahaja semua guru berada di atas pentas, Ustaz Abdul Rahman dijemput oleh pengacara majlis untuk mengetuai bacaan doa.   Ini diikuti dengan pembacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin b. Hj. Mohd Dom oleh En. Mohamad b. Aziz, GPK HEM.   Seterusnya Tn. Guru Besar En. Zamani b. Hj. Ahmad membacakan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia Y.A.B. Tan Sri Hj Muhyiddin b. Hj Mohd Yassin.


Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Hari Guru yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Guru (KEBIRU)  iaitu Ustaz Edham b. Affandi.   Selesai ikrar dibaca, guru-guru menyanyikan lagu Guru Malaysia dan lagu tema sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-39 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

Majlis bertambah meriah dengan persembahan daripada murid-murid dan guru-guru.  Acara sukaneka menyusul selepas itu dan dijalankan di dewan terbuka.  Antara acara yang menarik perhatian ialah Boling Kelapa, Isi Air dalam Botol dan Lontaran Kasih.  Murid-murid yang menyaksikan acara tersebut memberi sokongan kepada guru-guru yang mengambil bahagian.


Sambutan pada pagi itu diakhiri dengan jamuan istimewa di Dataran Riang Ria.  Menu nasi tomato, kuih muih, buah-buahan dan air hijau special menjadi hidangan.  Sambil menjamu selera, hadiah-hadiah sumbangan sekolah dan rakan-rakan guru bertukar tangan.   Kira-kira jam 1.30 petang majlis pun berakhir.   Satu kenangan Hari Guru yang indah buat semua warga pendidik di SKMKJ.   Terima kasih kepada  murid-murid yang telah membawa hadiah, kad ucapan dan buah tangan.

Terima kasih daun siantan,
Budi nan baik dalam ingatan.


Anugerah Khas Hari Guru 2010 ~ Anugerah Guru Paling Popular.
1.  En. Naidatul Zamrizam b. Abu (sesi pagi)
2.  Cik Nani bt. Jamil (sesi pagi)
3.  En. Zahri b. Zabir (sesi petang)
4.  Pn. Faizati bt. Imam Fauzi (sesi petang)


Tahniah kepada yang berjaya.  Tahun hadapan giliran siapa pula? Tunggu...

Sedutan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia sempena Hari Guru:

Selasa, 11 Mei 2010

*UCAPAN HARI GURU"

Lagu: GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demimu ibu pertiwi
Sumpah kulafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia.

Pencipta lagu : Khairulrizam b. Khalid
Penulis lirik    : Ili Nurbahirah bt. Baharudin
Penggubah lagu : Marzuki b. Tambi


Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, pihak sekolah mempelawa para pelajar, guru-guru atau ibu bapa serta kakitangan sekolah untuk menghantar kiriman ucapan Hari Guru kepada guru-guru di sekolah ini sama ada yang masih berkhidmat, telah berpindah ataupun telah bersara.

Tulis ucapan anda itu pada ruangan blog *>>>Autograf<<<*.  Sekian, terima kasih. Ucapan anda amat dihargai.