Khamis, 17 Mei 2012

SAMBUTAN HARI GURU 2012 DAN MAJLIS PERPISAHAN

Tanggal 16 Mei tahun 2012 mempunyai sejarahnya tersendiri.  Manakan tidak, pada tahun ini, murid-murid dan guru-guru menyambut dua acara iaitu Hari Guru dan majlis perpisahan untuk Guru Besar yang disayangi iaitu En. Zamani b. Hj. Ahmad.  Beliau yang telah menabur jasa di sekolah ini akan berpindah ke SK Seri Kenanga. Pelbagai kejayaan dalam kurikulum dan kokurikulum telah dicapai oleh sekolah sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini. Peningkatan dalam pencapaian UPSR, pembinaan pagar sekolah, dewan terbuka, naik taraf pusat sumber dan naik taraf bilik guru antara usaha beliau yang akan kekal menjadi kenangan.


Tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, memberi cabaran kepada para pendidik untuk menyediakan golongan berilmu yang mampu bersaing dalam zamannya. Tanpa inovasi, kita akan ketinggalan.  Era teknologi dan dunia tanpa sempadan, memerlukan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran, bermaklumat dan berinovasi.


Majlis pada pagi hari Rabu, 16 Mei 2012 dimulakan dengan akviti sukan. Guru-guru perempuan bermain aktiviti sukaneka seperti membawa bola hoki dengan gelung rotan dan berjalan di atas batu.  Sementara itu, guru-guru lelaki bermain sepak takraw.  Murid-murid memberi tepukan semangat kepada guru-guru yang mengambil bahagian.


Kira-kira jam 10.00 pagi, perhimpunan rasmi Majlis Sambutan Hari Guru 2012 diadakan.  Guru-guru diarak dengan paluan kompang masuk ke dalam dewan sekolah dan disambut pula dengan persembahan tarian zapin oleh ahli Kelab Tarian dan Kebudayaan SKMKJ. Selesai persembahan tarian, majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan nyanyian 3 buah lagu dan bacaan perutusan.  Kemudian, wakil murid menyampaikan ucapan. Ini diikuti dengan deklamasi sajak, nasyid dan koir bagi memeriahkan suasana pada pagi itu.



Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar guru dan nyanyian rangkaian tiga buah lagu istimewa iaitu lagu tema, lagu Hari Guru dan lagu "Biarku menjadi lilin".  Kemudian, murid-murid mendengar ucapan khas daripada En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari yang akan berpisah meninggalkan warga SKMKJ. Pada akhir majlis sambutan Hari Guru yang  diadakan di sekolah, pihak sekolah dan panitia menghadiahkan cenderamata jasamu dikenang kepada guru besar.  Majlis bersalam-salaman antara guru-guru dan guru besar serta murid-murid mengakhiri majlis pada tengah hari itu.


Acara jamuan guru-guru pada petang itu diadakan di Hotel Tropikal Inn.  Majlis pada tahun ini diadakan secara sederhana tetapi tetap meriah.  Tuan Guru Besar diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terakhir kepada guru-guru dan kakitangan SKMKJ.  Apabila bacaan biodata dan penghargaan untuk En. Zamani b. Hj. Ahmad disampaikan, ramai yang turut bersedih.  YDP PIBG dan Pengerusi Kelab Guru juga menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.  Selain itu, majlis jamuan di hotel ini juga diisi dengan aktiviti penyampaian cenderamata dan hadiah untuk guru-guru.


Sebelum berpisah, warga SKMKJ mengambil gambar kenangan bersama guru besar kesayangan mereka. "Sayonara" En. Zamani b. Hj. Ahmad.  Panjang umur bertemu lagi. Semoga sihat dan bahagia selalu.

Terima kasih daun selasih. Buat baik Allah kasih.
Terima kasih daun siantan. Budi baik dalam ingatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan