Selasa, 15 Oktober 2013

*NIKMAT KEMERDEKAAN*


Kemerdekaan negara kita Malaysia merupakan hadiah yang cukup berharga.  Selama beratus tahun kita telah dijajah dan diperintah hingga banyak jiwa yang tertindas.  Tanggal 31 Ogos 1957 menjadi detik bersejarah apabila negara kita dibebaskan daripada mana-mana belenggu penjajah.

Kita tidak memerlukan Portugis, Belanda, Inggeris atau Jepun untuk mentadbir negara kita. Zaman kegemilangan Melaka adalah bukti kita mampu menjaga dan mentadbir negara hingga meraih kegemilangan dan terkenal seantero dunia.  Sikap cemburu penjajah yang kemudiannya mencuri segala kekayaan yang kita miliki menjadi catatan yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.

Anak-anak merdeka hari ini cukup bertuah kerana lahir dalam sebuah negara yang aman dan maju. Perjuangan menebus kemerdekaan bukanlah satu perjalanan yang mudah. Justeru setiap insan yang bergelar warga Malaysia, bertanggungjawab mengekalkan kemerdekaan ini.  Bersyukurlah dengan kemerdekaan yang kita miliki. Kibarkan Jalur Gemilang. 


Khamis, 6 September 2012

*MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG CRUYFF OLEH TUNKU MAHKOTA JOHOR TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM*

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada detik bersejarah 4 September 2012 telah sudi mencemar duli menjejakkan kaki di Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari (SKMKJ), Kg. Melayu Majidi, Johor Bahru, Johor, Malaysia untuk merasmikan "Cruyff Court" yang pertama di negara ini.

Tunku Ismail, Johan Cryuff dan Dato Shahrir



Kehadiran Tunku Ismail bersama-sama dengan lagenda bola sepak Belanda iaitu Johan Cruyff yang juga pengasas "Cruyff Court" mendapat sambutan yang hangat dan meriah daripada warga SKMKJ. Selain itu, guru-guru dan murid-murid juga telah berpeluang bertemu dengan lagenda "Raja Bola" negeri Johor iaitu Datuk Abdul Ghani Minhat, bekas penjaga gol bola sepak kebangsaan iaitu Salleh Mohd Noor dan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Johor iaitu Fandi Ahmad yang turut sama menghadiri majlis pembukaan Cruyff Court.   


Ahli Parlimen Johor Bahru iaitu Tan Sri Shahrir Samad, Ketua Eksekutif Iskandar Invesment Berhad iaitu Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan juga kakitangan daripada Yayasan Johan Cryuff mengiringi rombongan yang dinanti-nantikan ini.


Gelanggang yang diberi nama "Cruyff Court Iskandar" merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan Johan Cruyff dalam kemajuan bola sepak di dunia.  Projek pembinaan gelanggang Cruyff  telah dibiayai oleh syarikat terunggul di Nusajaya iaitu Iskandar Investment Bhd  (IIB), anak syarikat kepada Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Yayasan Johan Cruyff.


Gelanggang Cruyff yang unik ini memberi peluang kepada golongan remaja yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah untuk bergiat dan cemerlang dalam bidang sukan khasnya dalam permainan bola sepak. Ia memberi inspirasi kepada semua berdasarkan kejayaan Johan Cruyff yang telah mewakili Belanda sekitar tahun 70-an dan juga berjaya membawa Barcelona ke mercu kejayaan bola sepak dunia.

Kehadiran para tetamu pada jam 10 pagi itu disambut oleh kumpulan "cheer group", silat serta tarian zapin membuka tirai perasmian pada pagi itu. Kemudian, gelanggang Cruyff dengan rasminya dibuka melalui sepakan penalti oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail.  Kemudian, para tetamu jemputan melakukan aksi tendangan bola bersama-sama murid-murid yang berada di sekitar gelanggang.

 

Ini diikuti dengan acara pertandingan futsal 5 sebelah antara SK Mohd Khir Johari dan SK Majidi Baru. Pertandingan telah dimenangi oleh SK Mohd Khir Johari melalui sepakan penalti 3-0 setelah seri 2-2. Tahniah SKMKJ. "We always no 1."


Tahniah kepada Guru Besar Pn Yos Fatimah bt.Selamat, barisan GPK, guru-guru dan murid-murid serta para pekerja yang telah membuat persiapan dalam menjayakan majlis yang gemilang ini. Majlis perasmian ini juga telah disiarkan dalam Berita TV1  jam 8.30 malam pada 4 September 2012.  Terima kasih kepada semua pihak yang menjadikan impian satu kenyataan. :)

Selasa, 28 Ogos 2012

*CRUYFF COURT PERTAMA DI ASIA TENGGARA*

Sekali lagi nama Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari (SKMKJ) melakar sejarah dalam dunia pendidikan negara apabila terpilih sebagai satu-satunya sekolah untuk menerima padang bola sepak unik yang direka khas dan eksklusif serta bertaraf antarabangsa iaitu Cyruff Court hasil kerjasama  Institut Johan Cruyff (JCI) Malaysia dengan sebuah anak syarikat Iskandar Investment Berhad, Nusajaya.


Pemilihan SKMKJ tentunya bertepatan dengan kejayaan sekolah ini dalam bidang kokurikulum yang sering mencipta kejayaan di peringkat zon, daaerah dan negeri, sehinggalah ke peringkat MSSM.  Malah pencapaian cemerlang dalam bola sepak dan futsal sejak akhir-akhir ini sejajar dengan pembinaan gelanggang permainan yang memberi semangat dan inspirasi kepada warga sekolah serta masyarakat di Kampung Melayu.

GPK Kokurikulum bersama Pegawai PPD, Johor Bahru


Lawatan Pegawai-Pegawai PPD JB

Cyruff Court ini merupakan yang pertama di Asia Tenggara dan kedua di Asia selepas negara Jepun. Pengasas JCI yang juga merupakan lagenda bola sepak Belanda dan pengurus Sepanyol iaitu Johan Cruyff bakal hadir melawat Iskandar Malayisa pada 4 September ini.

Dengan pembukaan JCI Malaysia di Educity, Nusajaya kelak, ia melengkapkan usaha untuk meletakkan Nusajaya sebagai hab pendidikan terbaik dan cemerlang di rantau ini. JCI yang kini mempunyai empat institut, dua universiti dan enam kolej antaranya di Amerika Syarikat, Ecuador, Brazil dan Afrika Selatan telah wujud lebih 10 tahun lalu dan terkenal dengan Total Athlete Development Programme. 

Johan Cruyff
JCI Malaysia bakal menawarkan program pengajian dalam bidang pengurusan sukan dan pengurusan bola sepak antaranya Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Bola Sepak dan Sarjana Pengurusan Sukan.  Beberapa buah akhbar hari ini menyiarkan berita tentang Cyruff Court di Malaysia, antaranya ialah akhbar Berita Harian dan Sinar Harian.

Akhbar Berita Harian Edisi Johor bertarikh 28 Ogos 2012 menulis:

Dalam pada itu, Syed Mohamed berkata, Cruyff juga bakal merasmikan gelanggang bola dan tempat permainan untuk murid sekolah dikenali sebagai Cruyff Court bersebelahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Khir Johari di Kampung Majidee di sini.
*Ada dua maklumat yang kurang tepat. Maklumat yang lebih tepat adalah seperti berikut :

Dalam pada itu, Syed Mohamed berkata, Cruyff juga bakal merasmikan gelanggang bola dan tempat permainan untuk murid sekolah dikenali sebagai Cruyff Court bersebelahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Mohd Khir Johari di Kampung Melayu Majidee di sini.