Rabu, 9 Februari 2011

*NENEK MARIAM - BERTEMU UNTUK BERPISAH*


Segala-galanya ketentuan Allah.  Walaupun seribu tahun terpisah, jika diizinkan Allah pasti bertemu semula.  Setiap ujian Allah tentu ada hikmahnya.  Ikutilah kisah seorang wanita bernama Mariam binti Johari (Kim Soon Ae) yang ditakdirkan akan...
berpisah dengan anak-anaknya selama 64 tahun.   Satu tempoh yang sangat lama.

Kisah bermula sekitar tahun 1943 ketika berlaku perang dunia ke-2.    Ketika itu  suami Mariam menjadi tentera manakala Mariam pula menjadi buruh paksa mengangkat batu-batu bagi pembinaan landasan kapal terbang di Senai.   Peperangan membuatkan manusia terpisah dan menderita.  Seorang askar kerahan Jepun dari Korea yang bekerja di situ bersimpati dengan Mariam lalu menyelamatkannya dan membawa Mariam bekerja di kilang membuat tangki air.

Selepas perang tamat pada tahun 1946, lelaki Korea bernama Cho Se Won itu telah membawa Mariam pulang ke Korea melalui pelabuhan Singapura untuk berkenalan dengan keluarganya di Hampyong, Wilayah Cholla-Nam-Do sebelum pulang semula ke Tanah Melayu bagi melangsungkan perkahwinan.  Mariam yang percaya pada janji pemuda Korea itu telah meninggalkan sementara anak-anaknya di Plentong, Masai.

Malangnya, impian Mariam itu tidak kesampaian sebaliknya Mariam terpaksa tinggal di rumah Cho selama 3 tahun dan akhirnya pada tahun 1949 barulah Cho berkahwin dengan Mariam di Korea.  Tidak sampai setahun usia perkahwinan mereka, pada tahun 1950, meletus pula perang antara Korea Utara dan Korea Selatan dan Cho telah meninggalkan Mariam sendirian kerana berkhidmat sebagai tentera.

Ketika perang Korea tamat pada tahun 1953, barulah Cho pulang ke rumah tetapi kepulangan Cho membawa seorang wanita yang mempunyai anak.  Mariam yang selama ini menanti kepulangan Cho berasa amat tertekan.   Dia faham bahawa perkahwinannya dengan Cho tidak dikurniakan anak.  Hal ini membuatkan Mariam teringat akan anak-anak kandungnya di Tanah Melayu (Malaysia).   Namun, Mariam tidak boleh pulang ke Malaysia kerana kehadirannya ke Korea juga tanpa dokumen pengenalan diri yang sempurna.

Akhirnya, Mariam terpaksa tinggal dengan madunya itu.   Jiran-jiran berbangsa Korea amat bersimpati dengan Mariam dan menasihatinya supaya berpindah.   Setelah dua tahun tinggal dengan madunya, Mariam berpindah ke Seoul untuk mencari pekerjaan bagi mengumpul wang agar dapat pulang ke Tanah Melayu (Malaysia).


Di Seoul, Mariam bekerja sebagai pembantu rumah. Dia tinggal dengan majikannya yang dipanggil "Ahn".  Ketika saat kematian Ahn, dia berpesan kepada Mariam agar menjaga anaknya, Ji Yong Un.  Selepas Ahn meninggal dunia, Mariam menunaikan wasiat majikannya itu dengan menjaga Ji sehinggalah anak tirinya itu berkahwin dan berkeluarga.   

Sewaktu berada di Seoul juga, Mariam telah berusaha beberapa kali untuk pulang ke Malaysia.   Kali terakhir pada tahun 1987 dengan menghubungi pihak kedutaan Malaysia namun tidak mendapat layanan kerana status Mariam sebagai warga Malaysia atau warga Korea diragui.   Pihak kedutaan Malaysia meminta Mariam menghubungi kedutaan Singapura.

Ketika itu di Malaysia, anak-anak Mariam iaitu Ramlah Sonni 74 tahun, Jelani 72 tahun dan Jamnah 67 tahun (seorang lagi anak Mariam meninggal dunia ketika dilahirkan) menyangka ibu mereka yang terpisah selama 64 tahun itu sudah lama tiada.   Hakikatnya, ibu kandung mereka sebenarnya masih hidup.   Mariam dan anaknya saling merindui dan batas sempadan negara telah memisahkan mereka.  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.   

Penderitaan dan kecekalan Mariam dalam menjalani hidupnya di Korea mendapat perhatian produser rancangan "Love in Asia", Korea  Broadcasting System (KBS) iaitu Park Keon Young.   Beliau berpendapat Mariam telah berjasa kepada rakyat Korea Selatan.   Malah produser dokumentari itu sanggup menghabiskan masa lebih dua bulan mengumpul maklumat di Korea Selatan sebelum datang ke Singapura dan Plentong untuk  menjejak anak-anak Mariam.

Park Keon Young juga membuat dokumentari itu setelah seorang seorang wanita dari satu badan bukan kerajaan (NGO) Korea Selatan menyatakan bahawa Mariam perlukan bantuan Park untuk pulang ke Malaysia bagi mencari tiga anaknya yang terpisah sejak 64 tahun yang lalu.  

Akhirnya, kisah Mariam mula mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila akhbar terbitan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd bertarikh 23 Jun 2007 menyiarkan hasrat Mariam untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Masai, Johor. Usaha para wartawan Malaysia mewar-warkan berita tersebut berjaya menjadi jambatan pertemuan bersejarah itu.

Pada 18 Julai 2007, Mariam akhirnya dapat bertemu dengan anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72 serta cucunya Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37  di studio KBS, Korea Selatan.   Satu detik yang amat bersejarah dalam hidup Mariam dan anak-anaknya.



Kemudian, pada 5 September 2007,  setelah segala perancangan dijalankan dengan sempurna, Mariam berjaya menjejakkan kaki ke bumi Malaysia setelah 64 tahun berada di negara orang.   Tercapailah hajat Mariam untuk pulang ke negaranya.   Dia ingin bertemu saudara-mara dan anak-anak yang dirinduinya terutama anak bongsunya iaitu Jamnah.   Mariam masih ingat janjinya untuk membelikan biskut buat Jamnah.   Tapi peristiwa itu sudah 64 tahun berlalu.   Ketika pertemuan Mariam dengan anak-anaknya di Korea dahulu, Jamnah tidak ikut serta kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.  Hajat hati Mariam untuk bertemu Jamnah belum kesampaian.   Kini Mariam sudah berada di bumi kelahirannya.   Setelah berhenti sebentar di sebuah kedai untuk membeli biskut, akhirnya Mariam dipertemukan dengan anaknya Jamnah dengan membawa biskut yang dijanjinya itu.   Pertemuan yang menyentuh hati.

Bilah-bilah hari yang berlalu begitu cepat berlalu.  Setelah dua minggu berada di Malaysia, pada 13 September 2007, Mariam terpaksa pulang semula ke Korea Selatan.   Berpisah sekali lagi Mariam dengan anak-anaknya kerana sejarah telah meletakkan dia sebagai bukan warganegara Malaysia.    Takdir telah menghukum Mariam dengan memisahkannya dari tanah air dan anak-anaknya.  

Sejak itu, anak-anak Mariam tidak mendengar lagi perkhabaran ibunya.   Juga tidak ada sebarang maklumat tentang Mariam daripada anak tiri Mariam iaitu Ji Yong Un.   Hanya pada suatu petang selepas dua tahun tanpa berita, tanggal 30 Mei 2009, Jelani mendapat panggilan daripada Mariam menerusi pelajar Malaysia yang menuntut di sana iaitu Yen Mun Wah yang memberitahu bahawa Mariam sakit tenat dan sering menyebut nama Ramlah, Jelani dan Jamnah.

Seperti sudah tersurat dalam catatan kehidupan, akhirnya Mariam yang dilahirkan pada 16 Mac 1921 di Plentong, Masai, Johor meninggal dunia pada 6 September 2009 di Seoul, Korea Selatan.   Mariam menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah orang-orang tua, Seoul ketika berusia 88 tahun tanpa anak-anak di sisi.

Bagaikan jalan yang penuh berliku... kematian Mariam pula mencetus masalah baru.  Jenazah Mariam kini menjadi tumpuan.   Dikatakan bahawa jenazah Mariam tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia kerana Mariam telah melucutkan kerakyatannya sebagai warganegara Malaysia.   Malah beliau dikatakan telah berwasiat agar dikebumikan mengikut adat Korea.   Berita itu amat melukakan hati anak-anak Mariam di Malaysia yang selama ini merindukan ibu mereka.

Di mana ada kesungguhan, di situ pasti ada jalan.   Kesungguhan Ramlah dan Jelani yang pernah mendengar ibunya mengucap dua kalimah syahadah ketika datang ke Malaysia dua tahun dahulu menyebabkan Jelani yakin ibunya masih Islam.  Jelani menulis surat kepada kedutaan Malaysia agar mayat ibunya dibawa pulang ke Malaysia.  Keadaan menjadi rumit apabila pihak kedutaan merujuk kepada kewarganegaraan Mariam dan wasiat yang pernah ditulis oleh Mariam.

Sudah hampir dua kali mayat Mariam hendak dibakar tetapi ditangguhkan kerana pelbagai pihak yang bersimpati dengan Mariam telah berusaha sedaya upaya agar mayat Mariam tidak dibakar dan dibawa pulang ke Malaysia untuk dikebumikan secara Islam.   Masalah yang lain pula timbul apabila kos penghantaran pulang mayat Mariam ke Malaysia dianggarkan sekitar RM30,000.   

Kali ini, para penderma dari Korea yang mengikuti perkembangan Mariam telah bermurah hati untuk menderma pada kos penghantaran pulang arwah Mariam.   Mereka mengikuti cerita Mariam melalui saluran KBS, Korea.   Seorang artis dari Malaysia pula telah menyumbang RM11,000.  Pelbagai pihak yang lain berganding bahu untuk membantu Mariam yang telah banyak menderita semasa hayatnya.   Biarlah dia disemadikan dalam keadaan tenang dan sempurna di tanah airnya sendiri.


Pada 18 September 2009, jenazah Mariam selamat sampai ke KLIA pada jam 12 tengah hari dan kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dimandi dan dikapankan.   Jenazah kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek, Kota Tinggi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam kira-kira jam 6 petang.  Hujan lebat yang turun pada petang itu bagai memahami penderitaan yang pernah dilalui oleh Mariam.   

Mariam bt. Johari...menyimpan segala duka laranya di dalam hati.   Tiada siapa menyangka perasaan rindu yang terpendam sekian lama akhirnya tertunai ketika nyawa sudah di hujung usia.   Setelah sekian lama berpisah Mariam bertemu dengan anak-anaknya dan pertemuan kali ini adalah yang terakhir sebelum berpisah sekali lagi buat selama-lamanya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan