Isnin, 11 April 2011

*PROGRAM HUTAN KITA @ SCHOOLS*


Pada hari Sabtu, 9 April 2011 bertempat di kawasan persekitaran Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah diadakan satu program yang istimewa iaitu Program Hutan Kita @ Schools (Hutan Kita di Sekolah).  Program ini diadakan serentak dengan ...
Majlis Pelancaran Hutan Kita @ School di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim oleh Yang Amat Berbahagia Tun Jeanne Abdullah.




Majlis pelancaran di SMK (P) Sultan Ibrahim telah dihadiri oleh pegawai-pegawai pendidikan, guru-guru besar, guru-guru dan NGO alam sekitar.   Dalam majlis yang istimewa ini, barisan guru besar dan pengetua sekolah daerah Johor Bahru menerima hadiah istimewa.  En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari menerima hadiah pokok hutan daripada Tun Jeanne untuk ditanam di persekitaran sekolah SKMKJ.


Pelancaran Program Hutan Kita @ Schools di Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah disempurnakan oleh En. Mohamad b. Aziz, GPK HEM.   Murid-murid yang terlibat dalam program menanam pokok-pokok hutan ini dibahagikan kepada guru-guru angkat.



Landskap Malaysia menganjurkan program ini di Johor Bahru untuk mengajar murid-murid menjadi lebih bertanggungjawab  bagi menghindarkan kesan rumah hijau dan menghasilkan persekitaran yang mempunyai udara yang bersih.   Program ini juga akan meningkatkan lagi kawasan landskap sekolah, menghijaukan prasarana sekolah dan mewujudkan sikap menghargai alam sekitar.


Setiap guru angkat kepada pokok-pokok hutan yang ditanam ini disertai oleh dua orang murid prasekolah.   Murid prasekolah dipilih kerana mereka merupakan generasi pewaris yang bakal melihat pokok-pokok ini membesar di hadapan mata mereka.

 


Pada hari tersebut, guru-guru dan murid-murid begitu seronok menjalankan aktiviti menanam pokok-pokok hutan di sekeliling kawasan sekolah mengikut kawasan yang ditetapkan.   Sementara itu, murid-murid yang lain menyertai acara mewarna yang diadakan di dewan terbuka.   Majlis pada pagi itu diakhiri dengan nyanyian lagu "Hijau" secara beramai-ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan