Jumaat, 1 Oktober 2010

*RUMAH TERBUKA AIDILFITRI - YB HJ. ADAM B. SUMIRU*

Pada hari Ahad, 26 September 2010, Yang Berhormat Tuan Hj. Adam b. Sumiru, ADUN Tanjung Puteri berserta isteri dan anak-anak telah mengadakan Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.   Majlis ini telah diadakan di  Dewan Terbuka SK Mohd Khir Johari.  Satu penghormatan kepada pihak sekolah yang sukar diperoleh.


Persiapan untuk majlis sambutan telah bermula di sekolah ini sejak hari Jumaat lagi.  Pada pagi Jumaat, Pasukan Majlis Bandar raya Johor Bahru telah menyediakan pokok-pokok bunga untuk majlis tersebut. Kawasan pentas dihias dengan sepanduk dan kain rentang yang cantik. Pada waktu malam pula, YB Adam b. Sumiru telah melihat sendiri persiapan yang telah dibuat.


Pada hari Sabtu, kerusi dan meja telah siap disusun.   Meja untuk tetamu jemputan khas diletakkan berhampiran pentas.  Beberapa buah meja disusun dan dihias dengan renda untuk diletakkan juadah.  Majlis sambutan  bermula jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.


Suasana pada hari Ahad tersebut cukup meriah.   Orang ramai mula membanjiri kawasan sekolah dan bertemu dengan wakil rakyat mereka.   Antara hidangan yang disediakan ialah nasi baryani, mi goreng istimewa, laksa Johor, lontong dan capati.  Minuman sejuk dan panas turut disediakan.


YB Dato Shahrir b. Abd Samad dan Dato Ahmad b. Kemin antara tetamu kehormat yang hadir di majlis tersebut.  YB Adam b. Sumiru turut menjemput kanak-kanak pendidikan khas (buta) dari Sekolah Princess Elizabeth Johor Bahru.  Persembahan nasyid dari kumpulan marhaban mewarnai majlis pada hari tersebut.   Majlis telah dikendalikan oleh barisan juruacara Kelab Media dan Radio Sekolah dari SMK St. Joseph Johor Bahru.   Tahniah YB atas kelancaran majlis pada hari tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan