Rabu, 18 Julai 2012

KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN 2012 KALI KE-41*

Pada hari Selasa 10 Julai yang lalu, Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-41. Acara-acara balapan telah diadakan di Stadium Larkin, Johor Bahru.



Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan persembahan senamrobik 1 Murid 1 Sukan.  Semua murid dan guru menjayakan program ini dengan membuat aktiviti senaman beramai-ramai diikuti dengan iringan muzik. Beberapa orang jurulatih senamrobik dijemput untuk menunjuk cara senaman.



Selesai sahaja aktiviti senamrobik, Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-41 dimulakan dengan upacara perbarisan lintas hormat.  Perbarisan rumah sukan dimulai dengan Rumah Biru, Merah, Kuning, dan Hijau.  Selain itu, pasukan unit beruniform juga menunjukkan kehebatan dengan pakaian seragam mereka.  Apabila semua pasukan perbarisan tiba di tengah padang, nyanyian lagu Negeri Johor pun diputarkan dan berkumandang di ruang udara Stadium Larkin itu. Sejurus selepas itu, Ustaz Hairul Anuar mengetuai bacaan doa.



Puan Yos Fatimah bt Selamat, Guru Besar SK Mohd Khir Johari menyampaikan ucapan alu-aluan. Kemudian, tetamu jemputan pada hari itu iaitu YB Datuk Hj. Adam b. Sumiru, ADUN Tanjung Puteri  menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Kejohanan Olahraga SK Mohd Khir Johari.



Majlis diteruskan lagi dengan pembacaan ikrar kejohanan yang diketuai oleh Ketua Pengawas Sekolah.  Ini diikuti dengan peserta pasukan perbarisan berbaris keluar.  Sebagai acara selingan, para hadirin dan murid-murid yang hadir dihiburkan dengan persembahan Senam Ria.


Pembuka tirai acara balapan pada hari tesebut ialah acara 100m L & P Tahun 5.  Tetamu jemputan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.  Kemudian, kejohanan diteruskan lagi dengan acara-acara yang ditetapkan:

100m Lelaki B dan C.
100m Perempuan A, B dan C.
200m Lelaki A, B dan C
200m Perempuan A, B dan C.
4 X 100m Lelaki A, B dan C
4 X 100m Perempuan A, B dan C

Johan keseluruhan bagi acara sukan tahun ini masih kekal diungguli oleh pasukan Rumah Biru.  Pasukan perbarisan terbaik juga telah dimenangi oleh pasukan Rumah Biru.   Bagi pasukan beruniform pula, johan dimenangi oleh pasukan PBSM Malaysia.


Kejohanan acara sukan tahun ini dimeriahkan lagi dengan acara yang melibatkan ibu bapa dan guru-guru.  Kemeriahan jelas terbayang di wajah setiap murid dan guru yang hadir dan keadaan cuaca yang baik membolehkan program yang diatur berjalan dengan lancar.  Tahniah kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan Kejohanan Olahraga kali ke-41 ini.   Syabas kepada para pemenang dan kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa malah teruslah berusaha, Wujudkan semangat kesukanan yang tinggi dalam diri kita untuk menggapai impian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan