Sabtu, 10 September 2011

*MAJLIS PERSARAAN EN. HUSSEIN BIN AHMAD*


Pada hari Jumaat, 5 Ogos yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan Majlis Persaraan untuk En. Hussein bin Ahmad iaitu Pembantu Tadbir di SK Mohd Khir Johari.  En. Hussein mula bersara wajib pada 9 Ogos 2011 namun majlis persaraan diadakan lebih awal atas permintaan En. Hussein yang mula bercuti selepas 5 Ogos 2011.


Kira-kira pada jam 9 pagi, pihak sekolah menyambut kehadiran En. Hussein yang memakai baju Melayu serba biru, bersamping indah lengkap sepersalinan.  Langkahnya ke sekolah pada pagi itu disambut dengan paluan kompang dan senyuman manis En. Zamani b. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari dan barisan guru penolong kanan serta guru-guru SK Mohd Khir Johari.


Selepas bacaan doa, guru besar memberi ucapan alu-aluan.  Ini diikuti dengan ucapan daripada wakil Jabatan Pelajaran Negeri Johor, unit pencen yang dijemput hadir pada majlis tersebut.  Kemudian, En. Hussein menyampaikan ucapan buat kali terakhir di hadapan warga SK Mohd Khir Johari.  Dengan kata berselang pantun dan madah, ucapan beliau benar-benar menyentuh hati para pendengar.  Jasa dan pengorbanannya dalam membantu bidang pendidikan sungguh meluas.  Malah, beliau juga pernah dipilih menjadi pembentang kertas kerja kewangan sekolah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.


Bagi mengenang jasa dan pengorbanan beliau dalam bidang pendidikan, pihak sekolah dan guru-guru telah menyumbangkan pelbagai hadiah kenang-kenangan kepada En. Hussein bin Ahmad.  Sekalung terima kasih dan penghargaan kepada beliau atas segala jasa yang telah dicurahkan.  Budi tuan tidak dilupa, kekal mewangi sepanjang zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan