Khamis, 4 Ogos 2011

KEJOHANAN OLAHRAGA 2011


Pada hari Rabu, 20 Julai 2011 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah mengadakan Kejohanan Olahraga Sekolah kali ke-40 di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus, Larkin, Johor Bahru. Majlis bermula seawal jam 7.30 pagi dengan perbarisan lintas hormat rumah-rumah sukan diikuti dengan pasukan unit beruniform.



Seterusnya, bacaan doa dilafazkan oleh Ustaz Abdul Rahman sejurus selepas semua pasukan yang mengambil bahagian berkumpul di tengah stadium.   Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar, SK Mohd Khir Johari.  Kejohanan olahraga pada kali ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat, Tn. Hj. Adam b. Sumiru.


Selesai sahaja upacara perasmian, pasukan zapin sekolah mengambil tempat untuk membuat persembahan.  Ini diikuti pula dengan persembahan senamria oleh pasukan Rumah Merah yang telah menjadi juara dalam pertandingan senamria baru-baru ini.


Acara balapan dimulakan dengan acara larian 100M dan 200M.   Pasukan rumah sukan bersiap sedia menghantar para atlet terbaik untuk memastikan juara rumah sukan menjadi milik mereka.   Namun semangat kesukanan tidak dilupakan.   Murid-murid yang mengambil bahgian telah berlari dengan pantas untuk menjadi juara.  Acara 4 X 100M dan 4 X 200M menjadi tumpuan kerana kekuatan setiap rumah sukan dapat dilihat dalam acara ini.  Malah, semangat kerjasama pasukan juga penting semasa larian baton ini.


Guru-guru rumah sukan juga diberi peluang mengambil bahagian dalam acara larian 4 X 50M dan juga acara sukaneka.  Tidak ketinggalan, para ibu bapa yang hadir turut mengambil bahagian dalam acara sukaneka yang dianjurkan.   Kejohanan Olahraga pada hari tersebut berakhir sekitar jam 1.30 tengah hari dengan keputusan keseluruhan dimenangi oleh:

JOHAN : Rumah Biru
NAIB JOHAN : Rumah Merah
KETIGA : Rumah Kuning
KEEMPAT : Rumah Hijau


Syabas kepada pasukan rumah biru yang telah mengungguli kejohanan olahraga 6 tahun berturut-turut. Biru Banzai!  Tahniah juga kepada AJK Olahraga Sekolah yang telah berjaya menganjurkan temasya sukan yang hebat pada tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan