Isnin, 28 Februari 2011

*APA YANG "BEST" DI ZOO JOHOR?*



Jika anda sudah lama tidak ke Zoo Johor, carilah masa untuk bersama keluarga melawat Zoo Johor pada hari Ahad ini.   Dengan hanya bayaran RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak, anda dapat...


menghiburkan hati melihat telatah pelbagai haiwan yang terdapat di sini.


Zoo Johor yang terletak berhadapan Masjid Abu Bakar dan berhampiran kawasan istana, telah dibina pada tahun 1928 oleh Sultan Sir Ibrahim.   Kemudian, zoo ini diserahkan kepada pihak kerajaan untuk diuruskan pada tahun 1960.   Dua tahun selepas itu, Zoo Johor mula dibuka kepada orang awam.


Hari ini, Zoo Johor telah berwajah baru.   Banyak perubahan yang dilakukan untuk menarik kehadiran pelancong tempatan mahupun luar negara antaranya ialah persembahan burung kakak tua, aktiviti memberi makan haiwan, berkayak di dalam kolam dan bergambar dengan singa!


Kanak-kanak merupakan insan yang paling suka melawat ke zoo.   Selain melihat haiwan, mereka juga berpeluang untuk bermain di taman permainan yang disediakan dan terdapat aktiviti menunggang haiwan "mainan" kegemaran mereka.   Aktiviti hiburan bersama keluarga seperti ini dapat mewujudkan suasana harmoni dan merehatkan minda ibu bapa yang datang membawa anak-anak ke sini.


Selepas puas berehat, anda perlu meneruskan perjalanan dengan melihat haiwan-haiwan di dalam kandang berpagar.   Sesekali terdengar harimau dan singa mengaum.   Monyet pula berkejar-kejaran.  Anak-anak kuda pula menanti kehadiran anda untuk ditunggang.


Banyak lagi yang boleh anda lihat di Zoo Johor ini.  Unta, gajah, buaya, ular, tupai, kuda, orang utan dan pelbagai jenis burung terdapat di Zoo Johor ini.   Malahan, ada juga aktiviti memancing di kawasan kolam yang disediakan.   Jika ingin membawa pulang oleh-oleh sebagai kenangan, singgahlah di gerai cenderamata yang disediakan.  Kalau terasa dahaga, berhentilah rehat sebentar di kedai minuman yang disediakan.   Air tebu dan ais krim menjadi tarikan utama.


Apalagi yang ditunggu?  Saksikan sendiri perubahan ini di Zoo Johor.  Anda pasti terpesona!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan