Selasa, 7 Disember 2010

*MAJLIS PERPISAHAN MURID TAHUN 6*

Murid-murid Tahun 6 2010 yang menjadi warga SK Mohd Khir Johari selama hampir 6 tahun telah diraikan dalam satu Majlis Perpisahan Tahun 6 yang diadakan pada hari Isnin, 15 November 2010 jam 10.00 pagi.
Majlis ini dikelolakan oleh Pn. Al Zu'ra bt. Ahmad, Penyelaras Tahun 6.






Majlis dimulakan dengan bacaan doa.  Ini diikuti dengan ucapan perpisahan oleh wakil murid iaitu Mohd Ashraf Aiman b. Abd Majeed, Ketua Pengawas, SK Mohd Khir Johari.   Selepas itu, En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari pula menyampaikan ucapan.   Beliau berharap agar murid-murid Tahun 6 akan pandai menjaga maruah diri, keluarga dan sekolah.


Kemudian, murid-murid dan guru-guru menjamu selera.   Guru-guru yang bertugas dibantu oleh para pengawas mengedar makanan kepada murid-murid Tahun 6 dan guru-guru sesi pagi dan petang.  Sesungguhnya banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh murid-murid Tahun 6 ini sama ada kenangan yang manis mahupun yang pahit.   Pada kesempatan yang masih ada ini mereka bergembira bersama rakan-rakan yang hadir.   Ada yang mengambil gambar kenangan bersama guru dan rakan-rakan.


Sambil murid-murid dan guru-guru menjamu selera, majlis penyampaian hadiah diadakan.  Majlis penyampaian hadiah ini sempena aktiviti Tahun 6 yang dijalankan selepas UPSR.   Antaranya ialah pertandingan bola baling, bola sepak dan bola jaring.  Hadiah-hadiah untuk aktiviti Tahun 6 selepas UPSR anjuran panitia juga disampaikan dalam majlis tersebut.


Bagaikan memetik kata-kata pujangga, "di mana ada pertemuan di situ ada perpisahan" maka berpisahlah murid-muird Tahun 6 ini dengan sekolah yang mereka sayangi.   Selama ini, setiap pagi mereka akan melangkah kaki ke sekolah kesayangan mereka.   Namun, masa terus berlalu dan usia yang meningkat remaja meminta mereka berada di peringkat persekolahan yang lebih tinggi.   Untuk murid-murid Tahun 6, selamat melangkah ke sekolah menengah. Kami doakan kejayaan dan kebahagiaan akan sentiasa menjadi milik anda! Selamat Berpisah...


1 ulasan: