Isnin, 6 Disember 2010

*JAMUAN AKHIR TAHUN KEBIRU 2010 DAN MAJLIS PERSARAAN PN. CHEOK CHAI HOON*

Pada hari Sabtu, 13 November 2010 yang lalu, Kelab Bilik Guru (KEBIRU) telah mengadakan jamuan akhir tahun untuk guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari.   Jamuan telah diadakan di Tingkat 7, Hotel Grand Blue Wave Johor Bahru.












Hotel Grand Blue Wave ini agak istimewa kerana terletak berhampiran dengan Selat Tebrau.   Di Tingkat 7  ini juga terdapat kolam renang untuk kemudahan para pengunjung yang menginap di sini.   Malah kita boleh melihat keadaan di Tambak Johor dari hotel ini.












Malam Jamuan Akhir Tahun 2010 atau Malam Pancaran Budi dimulai dengan persembahan pantun dan lagu "Zapin Budi" oleh Cikgu Asiah Munajam selaku pengacara majlis.   Beliau menjemput Encik Ismail Mahat untuk berganding bahu bersamanya bagi memeriahkan acara pembuka tirai itu.


Selepas itu, Ustaz Hairul Anuar mengetuai bacaan doa.  Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan Ustaz Edham b. Affandi selaku Pengerusi KEBIRU dan seterusnya ucapan En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari.


Bagai kata pantun Melayu; gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati...maka tanpa melengahkan masa, para hadirin yang hadir dijemput menjamu selera dengan juadah yang telah disediakan oleh pihak hotel.


Sambil  guru-guru dan kakitangan sekolah serta para tetamu yang hadir menjamu selera, mereka dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Cikgu Rizal, Cikgu Iruan dan Encik Ismail.  Boleh tahan juga suara mereka!


Majlis pada malam itu diteruskan lagi dengan segmen Majlis Persaraan Pn. Cheok Chai Hoon, GPK Kokurikulum SK Mohd Khir Johari.   Pn. Cheok Chai Hoon naik ke atas pentas dan duduk di atas kerusi yang telah disediakan.


Bacaan biodata Pn. Cheok dibacakan diikuti dengan tayang slaid.  Selepas itu, beliau dijemput menyampaikan ucapan sempena majlis persaraannya.  Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya sepanjang berkhidmat di sekolah ini.



Majlis penyampaian cenderamata dan hadiah disampaikan selesai sahaja Pn. Cheok menyampaikan ucapan.  Pihak hotel juga berbesar hati menyumbangkan sebiji kek untuk majlis tersebut.


Pada malam tersebut juga diadakan cabutan nombor bertuah.   Ramai juga yang bernasib baik terutama yang duduk semeja dengan Pengerusi Kelab Guru, Ustaz Edham b. Affandi.   Berkat doa!


Penyampaian hadiah untuk pasangan pengantin baru iaitu Cikgu Abdul Rahman dan Cikgu Zaidah juga dijalankan pada malam yang bersejarah itu.   Selamat pengantin baru!


Sebelum bersurai, rakan-rakan guru dan pekerja sekolah mengambil kesempatan bergambar dengan Pn. Cheok Chai Hoon.  Bagi pihak sekolah, terima kasih atas jasa bakti dan khidmat yang telah dicurah terutama kepada sekolah ini.   Akhir kata, Selamat Bersara.   Semoga sentiasa sihat dan bahagia di sisi keluarga tercinta.

Biodata Pn. Cheok Chai Hoon
Pn. Cheok Chai Hoon dilahirkan di Johor Bahru.  Beliau bersekolah rendah di SK Infant Jesus Convent dan kemudian melanjutkan pelajaran ke SMK Convent Johor Bahru.   Minatnya dalam bidang pendidikan dan sukan membolehkan beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas dalam bidang Pendidikan Jasmani.

Selepas menamatkan pengajian di maktab, beliau dihantar berkhidmat ke Kulai.   Di situlah beliau menabur bakti sebelum berpindah ke SMK Sultan Ibrahim (SIGS) Johor Bahru.   Kemudian, ditawarkan sebagai Guru Penolong Kanan di SK Abdul Aziz Majid selama 2 tahun sebelum melangkah kaki ke SK Mohd Khir Johari sebagai GPK Kokurikulum.

Antara pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan ialah terpilih sebagai hakim gimrama untuk Sukan Komanwel yang pernah diadakan di Malaysia.  Sebelum ini, beliau memang terlibat dalam program gimrama di sekolah-sekolah.  Kini, Pn. Cheok Chai Hoon menetap di Taman Daya bersama suami dan dua orang anaknya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan