Ahad, 26 September 2010

*LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE UNIVERSAL STUDIO, SINGAPURA *

Hebat! Teruja! dan Terkasima!
"Awesome" "Excited" and "Amazing"
Itulah gambaran yang dapat dikatakan tentang Universal Studio di Singapura. Mengapa tidak?
Padat dengan pelbagai aktiviti permainan, pertunjukan dan menghimpunkan koleksi tarikan terulung.


Antaranya:
Far-far Away Castle daripada filem Shrek
A Crate Adventure daripada filem Madagascar
Ride The Movies daripada Steven Spielberg
Roller Coaster tertinggi di dunia untuk tema filem Battlestar Galactica.


Pada hari Sabtu, 25 September 2010, selepas hampir setahun membuat perancangan untuk mengadakan lawatan ke Singapura akhirnya Panitia Kajian Tempatan dengan kerjasama Kelab Pencinta Alam dan Unit Kokurikulum serta gabungan Kelab Guru SK Mohd Khir Johari berjaya melakar impian untuk berhibur di Universal Studio (US), Singapura.


Rombongan ini menggunakan 4 buah bas sekolah yang disertai oleh murid-murid Tahun 6 dan guru-guru SK Mohd Khir Johari.  Dengan harga bayaran yang berpatutan, kunjungan ke US ini memang berbaloi-baloi!


Kebanyakan murid dan guru yang menyertai rombongan ini membuat pasport berkumpulan. Ada juga yang menggunakan pasport antarabangsa.


Tips semasa membuat pasport berkumpulan: 
1. Tiada masalah jika mereka yang sudah memiliki pasport antarabangsa ingin menyertai pasport berkumpulan.
2. Bagi kanak-kanak/murid sekolah yang sudah mencapai usia 12 tahun perlu menyertakan salinan kad pengenalan dan surat beranak semasa membuat pasport berkumpulan.
3. Sediakan 2 keping gambar dan satu salinan kad pengenalan untuk orang dewasa dan satu salinan surat beranak untuk kanak-kanak.


Bagi mengelakkan kesesakan di Tambak Johor, ahli rombongan telah berkumpul di sekolah seawal jam 5.45 pagi.  Kira-kira jam 6.15 pagi bas pun mula bergerak meninggalkan perkarangan sekolah.  Kami menuju ke bahagian Imigresen Johor. Pagi itu tiada kesesakan di kedua-dua belah kawasan imigresen, baik di Johor mahupun di Singapura.   Malah perjalanan menggunakan bas adalah jauh lebih selesa dan pantas berbanding menggunakan kereta!


Bersih, kemas dan tersusun.  Demikianlan keadaan bandar raya Singapura sewaktu kami melintasi kawasan bandar raya Singapura menuju ke Pulau Sentosa.  Kami tiba di Resort World Universal Studio sekitar jam 9.30 pagi. Setelah bas berhenti di aras bawah, kami menaiki tangga bergerak menuju ke pintu masuk.  Pusat hiburan ini beroperasi dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.


Sewaktu beratur di pintu masuk utama, kami dihiburkan dengan kunjungan watak woody woodpecker.  Kanak-kanak dan orang dewasa mengambil kesempatan bergambar dengan watak animasi yang popular ini.



Tips sebelum masuk ke Universal Studio:
1. Jangan bawa makanan masuk ke dalam US.  Memang anda tidak dibenarkan membawa makanan masuk ke dalam US! Jika perlu hanya bawa sedikit roti, kuih dan sebotol air mineral kerana di sini terdapat sebuah restoran yang boleh memenuhi cita rasa anda iaitu Restoran Oasis Spice Cafe.  Anda boleh memesan menu soto ayam ($3.90) atau beriani ayam  ($10.90). Walaupun agak mahal jika dibandingkan dengan RM tetapi hidangannya mengenyangkan.  Cubalah!
2. Jangan bawa baju tambahan atau terlalu banyak pakaian.  Memberatkan.  Jika bimbang hari hujan sediakan payung kecil di dalam beg. Jika tidak, beli saja baju hujan yang disediakan dengan harga $2.
3. Anda perlu bawa kamera atau telefon bimbit untuk merakamkan detik-detik indah di dalam US.  Simpan telefon bimbit dengan cermat kerana banyak aktiviti permainan yang menghayun anda ke sana ke mari.
4. Pakai selipar atau kasut yang sesuai untuk mengelakkan keletihan berjalan.
5. Bawa panadol, minyak angin atau plastik muntah (haha..) kerana kebanyakan permainan di sini menggunakan teknik berpusing-pusing dan berputar-putar.  Selesai permainan anda pasti melihat bintang dan  bulan!
6. Bukan semua restoran di dalam US menyediakan makanan halal.
7. Anda boleh menunaikan solat Zuhur dan Asar di sebuah tempat berhampiran pintu masuk utama.
8. Bawa air mineral semasa masuk ke dalam tandas.  Walaupun terdapat banyak tandas tetapi tiada paip air di dalam kamar tandas.


Ahli-ahli rombongan SK Mohd Khir Johari kemudian berpecah mengikut tempat hiburan pilihan mereka.  Masa berkumpul semula sekitar jam 6.00 petang di pintu masuk utama.   Selepas mendapatkan baucer makanan percuma bernilai $5 dan baucer cenderamata $5, masing-masing mula bergerak.


Banyak tempat menarik di dalam Universal Studio yang boleh dilawati dan bukan setakat bergambar dengan watak-watak animasi sahaja. Justeru, masa yang diperuntukkan benar-benar berharga.


Ada sesetengah tempat menarik mungkin biasa sahaja di bahagian luar bangunannya tetapi terdapat aktiviti menarik di dalam bangunan.   Kebanyakan bangunan menyerupai bangunan studio US di Los Angeles, Amerika Syarikat.


Berikut antara tempat yang mesti anda kunjungi di dalam Universal Studio dan jangan lepaskan peluang ini:
1.  Shrek 4-D Adventure di bangunan Istana Far-far Away.
Anda berpeluang menyaksikan animasi pendek berserta dengan kesan khas 4-D yang cukup hebat.
2.  Jurassic Park Rapid Adventure di The Lost World.
Anda akan basah lencun semasa menyusuri sungai di kawasan Dinosaurus ini.
3.  Water World di The Lost World.
Pertunjukan kapal terbang dan aksi-aksi peperangan yang mendebarkan. Tayangan jam 1.00 petang, 3.00 petang dan 5.00 petang.
4.  Lights, Camera, Action! Hosted by Steven Spielberg di New York.  Pertunjukan kesan khas untuk sesebuah filem.  Sesuatu di luar jangkaan.


Pelbagai lagi aktiviti persembahan, permainan dan hiburan yang boleh anda lihat di sini.  Pastikan anda menggunakan peta yang dibekalkan dan bersedia untuk berhibur.  Barangan cenderamata yang istimewa juga menanti anda. Cuma sediakan wang secukupnya.


Ketika jam menunjukkan 6.00 petang, peserta rombongan mula berkumpul. Setelah semuanya bersedia, bas pun mula bergerak meninggalkan US. Kira-kira jam 7.30 malam, kami sampai di Masjid Sultan untuk menunaikan solat Maghrib.  Perjalanan melalui Tambak Johor juga mudah kerana lorong untuk bas agak lengang.   Jika menaiki kereta pasti akan beratur panjang dan mengambil masa hampir 3 jam!


Kami sampai di sekolah jam 11.00 malam.  Walaupun keletihan, masing-masing tetap gembira dan terhibur!

3 ulasan:

  1. wah cikgu-cikgu semua happy nampak jealous saya dibuatnya by muhammad faiz bin wahid ;-]

    BalasPadam
  2. simpan duit banyak2..nanti Faiz pun boleh pergi.

    BalasPadam
  3. Untuk rombongan srkolah Kena booking dulu ke nk USS?ke kite pergi jer?

    BalasPadam