Jumaat, 21 Mei 2010

*SAMBUTAN HARI GURU 2010*

Pada hari Isnin, 17 Mei 2010, Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru bagi meraikan guru-guru tersayang yang selama ini menjadi peneraju kejayaan dan kemajuan sekolah. Majlis dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan perbarisan masuk guru-guru diikuti paluan kompang.

Selesai sahaja semua guru berada di atas pentas, Ustaz Abdul Rahman dijemput oleh pengacara majlis untuk mengetuai bacaan doa.   Ini diikuti dengan pembacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin b. Hj. Mohd Dom oleh En. Mohamad b. Aziz, GPK HEM.   Seterusnya Tn. Guru Besar En. Zamani b. Hj. Ahmad membacakan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia Y.A.B. Tan Sri Hj Muhyiddin b. Hj Mohd Yassin.


Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Hari Guru yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Guru (KEBIRU)  iaitu Ustaz Edham b. Affandi.   Selesai ikrar dibaca, guru-guru menyanyikan lagu Guru Malaysia dan lagu tema sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-39 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

Majlis bertambah meriah dengan persembahan daripada murid-murid dan guru-guru.  Acara sukaneka menyusul selepas itu dan dijalankan di dewan terbuka.  Antara acara yang menarik perhatian ialah Boling Kelapa, Isi Air dalam Botol dan Lontaran Kasih.  Murid-murid yang menyaksikan acara tersebut memberi sokongan kepada guru-guru yang mengambil bahagian.


Sambutan pada pagi itu diakhiri dengan jamuan istimewa di Dataran Riang Ria.  Menu nasi tomato, kuih muih, buah-buahan dan air hijau special menjadi hidangan.  Sambil menjamu selera, hadiah-hadiah sumbangan sekolah dan rakan-rakan guru bertukar tangan.   Kira-kira jam 1.30 petang majlis pun berakhir.   Satu kenangan Hari Guru yang indah buat semua warga pendidik di SKMKJ.   Terima kasih kepada  murid-murid yang telah membawa hadiah, kad ucapan dan buah tangan.

Terima kasih daun siantan,
Budi nan baik dalam ingatan.


Anugerah Khas Hari Guru 2010 ~ Anugerah Guru Paling Popular.
1.  En. Naidatul Zamrizam b. Abu (sesi pagi)
2.  Cik Nani bt. Jamil (sesi pagi)
3.  En. Zahri b. Zabir (sesi petang)
4.  Pn. Faizati bt. Imam Fauzi (sesi petang)


Tahniah kepada yang berjaya.  Tahun hadapan giliran siapa pula? Tunggu...

Sedutan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia sempena Hari Guru:


PERUTUSAN HARI GURU 2010
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU KE-39
TEMA
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
16 haribulan Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Seluruh negara akan menyambut dan merayakan Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua merafakkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut dan merayakan ketibaan Hari Guru bagi tahun ini. Penghormatan ini amat layak diterima oleh para guru atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.
1
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ”Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru” kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Syabas saya ucapkan kepada guru-guru atas kejayaan dalam mengharungi cabaran-cabaran ini dengan semangat dan iltizam yang tinggi dan meletakkan sistem pendidikan di negara ini ke tahap yang membanggakan.
Sejak tahun 1990, sektor pendidikan kita telah berkembang pesat dalam meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Namun begitu, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah kita capai. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap yang setara dengan negara maju dan bertaraf dunia. Masih banyak yang perlu dimantapkan dan diperbaiki supaya sistem dan institusi pendidikan benar-benar dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, mempunyai daya saing yang tinggi dan berwibawa.

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

Pada tahun 1991 Kerajaan membina azam untuk mencapai Wawasan 2020, untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri. Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang kita daripada mencapai wawasan ini, kerajaan telahpun melancarkan Pelan Transformasi sebagai satu kerangka pelan hala tuju yang memperincikan objektif, keberhasilan dan langkah-langkah permulaan yang akan dilaksanakan. Tempoh satu dekad yang tinggal ini bukanlah satu jangka masa yang panjang. Oleh itu, kita hendaklah dengan satu tekad yang kuat untuk bersama-sama menjayakan bidang keberhasilan utama pendidikan iaitu Menigkatkan Akses kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan. Objektif ini mampu kita capai jika kita semua memainkan peranan masing-masing dengan lebih bersungguh-sungguh dan berkesan.

Justeru, guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya peranan guru-guru, murid dan ibu bapa akan membantu melonjakkan prestasi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Sebab itulah Kementerian telah memilih tema “Guru Pembina Negara Bangsa” dijadikan sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Kejayaan membangunkan sebuah negara bangsa yang teguh akan membantu kita mencapai Wawasan 2020. Nilai-nilai mulia seperti sifat saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berbudi bahasa, memiliki disiplin diri dan kesungguhan wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.

Kerjaaan pula akan terus berusaha untuk memartbatkan profesion keguruan. Ke arah itu, langkah-langkah penambahbaikan sistem pemilihan calon guru dan memantap program latihan asas perguruan akan dilaksanakan. Di samping itu kerajaan juga akan melaksanakan Pelan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Plan) dan mewujudkan beberapa insentif di bawah Sistem Tawaran Baru atau New Deal kepada kepimpinan sekolah serta guru-guru bagi meningkatkan prestasi sekolah. Kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah bagi memperbaiki laluan kerjaya guru dengan mewujudkan peluang-peluang kenaikan pangkat yang lebih baik melalui “Faster Career Progression” atau “Fast Track”. Dari semasa ke semasa tahap persekitaran kerja diperbaiki dengan meningkatkan kemudahan dan prasarana pendidikan, khususnya di luar bandar dan pedalaman. Saya percaya, pendekatan dan usaha-usaha ini akan menjadikan profesion keguruan suatu profesion yang lebih menarik.
Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.


“Selamat Menyambut Hari Guru”
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2010


3 ulasan:

  1. siti aisyah 5 dinamlk15 Jun 2011 10:39 PTG

    memang bes gileeeeee mase tahun lepas
    memang meriah lah.....
    tidak bolah lupakan
    harap2 tahun hadapan 2012 lebih
    meriah yang saya sangkekan.....
    dan harap2 tahun depan giliran cikgu nai
    menjadi guru popular aminnnnn.....

    BalasPadam
  2. silap hari cikgu ahmad tu rembat je..ajar math dh la hentam bute..igt die dlu sek majidee aku takut..lai la turun padang

    BalasPadam