Memaparkan catatan dengan label Persaraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persaraan. Papar semua catatan

Isnin, 19 April 2010

*MAJLIS PERSARAAN PN HJH JUNIDAH BT.TALIB - ANJURAN KEBIRU*

Pada hari Jumaat, 9 April 2010 bertempat di Hotel Paragon Johor Bahru, Kelab Bilik Guru (Kebiru) SK Mohd Khir Johari telah mengadakan satu majlis khas istimewa untuk Pn. Hjh. Junidah.  Majlis tersebut diberi nama Malam Budi Ditabur Jasa Dikenang.   Tetamu kehormat pada malam itu ialah En. Salim dari Unit HEM PPD, En. Sariat b. Mukmin dari Majlis Penolong Kanan Johor Bahru dan AJK PIBG.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Cikgu Abdul Rahman.  Selepas itu, En. Shukri b. Sultani  GPK Kurikulum pula dijemput untuk menyampaikan ucapan mewakili tuan guru besar yang tidak dapat hadir atas urusan keluarga.   Kemudian, En. Salim selaku wakil rasmi PPD Johor Bahru menyampikan ucapan penghargaan atas jasa Pn. Junidah dalam perkhidmatannya selama ini.

Ketika hadirin menjamu selera beberapa orang guru dan kakitangan sekolah telah tmenyampaikan lagu untuk para hadirin yang hadir.  Antaranya ialah En. Hussein, En. Ismail, En. Fendi, Cikgu Rizal dan Cikgu Borahan. Bacaan biodata Pn. Hjh. Junidah telah dibaca oleh Cikgu Asiah Munajam selaku juruacara majlis pada malam itu.  
Pn. Hjh  Junidah sekali lagi diminta memberikan ucapan dalam majlis itu yang diadakan khas untuk beliau.   Segala suka dan duka dikongsi bersama dan kenangan lama itu terimbau kembali dalam kepingan-kepingan gambar yang ditayangkan. 

Acara memotong kek sambutan hari jadi ke-56 tahun juga diadakan.   Pn Hjh. Junidah memotong kek bersama-sama dengan para tetamu kehormat yang hadir.  Sesudah itu, majlis penyampain hadiah dan cenderamata untuk Pn. Hjh Junidah juga diadakan.  Hadiah disampaikan oleh beberapa orang guru selaku wakil kepada panitia dan kelab.  Sebelum bersurai, para tetamu yang hadir bersalam-salaman dengan Pn. Hjh Junidah bt. Talib diiringi lagu Salam Terakhir.

*MAJLIS PERSARAAN PN. HJH. JUNIDAH BT. TALIB - GPK HEM*

Pada hari Rabu 7 April yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan Majlis Persaraan Pn. Hjh. Junidah bt. Talib, GPK HEM Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari.  Majlis yang gemilang ini diadakan untuk meraikan Pn. Hjh. Junidah yang telah berkhidmat lebih 35 tahun sebagai seorang pendidik. Anak kelahiran Gelang Patah ini mula berkhidmat di SK Convent sebelum bersara wajib 56 tahun di sekolah ini.
Majlis pada pagi itu diadakan di dewan sekolah.   Setelah murid-murid dan guru-guru berhimpun, Pn. Hjh Junidah melangkah ke dewan buat kali terakhir untuk bertemu dengan murid-murid kesayangannya.
Selepas bacaan doa, Tuan Guru Besar iaitu En. Zamani b. Hj. Ahmad memberikan ucapan dan penghargaan atas segala jasa Pn. Junidah sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.   Kemudian, bacaan biodata Pn. Junidah dibacakan  oleh Cikgu Suhaili dengan iringan muzik.   En. Rahmat Hidayat pula mendeklamasikan sajak istimewa untuk Pn. Hjh. Junidah dengan tajuk sajaknya "Liku Seorang Guru".   Selepas itu, Pn. Hjh. Junidah dijemput untuk memberikan ucapan persaraannya.

Suasana menjadi pilu apabila sesekali Pn. Hjh. Junidah menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapannya.  Selesai ucapan beliau, murid-murid dan guru-guru menyampaikan kad ucapan dan hadiah sebagai tanda kenangan.   Pasukan koir yang terdiri daripada para pengawas turut membuat persembahan dengan menyampaikan dua buah lagu iaitu Doa Perpisahan dan Hanya Nyanyian.

Kemudian, Pn. Hjh. Junidah kemudian dibawa ke kantin untuk jamuan ringan sebelum acara "send off".   Murid-murid yang telah beratur menuju ke pintu pagar utama bersalam-salaman dengan Pn. Hjh. Junidah sebaik-baik sahaja beliau mula melangkah keluar selepas jamuan.

Sesungguhnya perpisahan itu menyedihkan namun segala jasa dan budi Pn. Hjh Junidah kepada sekolah ini amat kami hargai dan disanjung tinggi.   Akhir kata, selamat sersara dan semoga berbahagia di samping keluarga.