Memaparkan catatan dengan label Majlis Persaraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Majlis Persaraan. Papar semua catatan

Sabtu, 10 September 2011

*MAJLIS PERSARAAN EN. HUSSEIN BIN AHMAD*


Pada hari Jumaat, 5 Ogos yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan Majlis Persaraan untuk En. Hussein bin Ahmad iaitu Pembantu Tadbir di SK Mohd Khir Johari.  En. Hussein mula bersara wajib pada 9 Ogos 2011 namun majlis persaraan diadakan lebih awal atas permintaan En. Hussein yang mula bercuti selepas 5 Ogos 2011.


Kira-kira pada jam 9 pagi, pihak sekolah menyambut kehadiran En. Hussein yang memakai baju Melayu serba biru, bersamping indah lengkap sepersalinan.  Langkahnya ke sekolah pada pagi itu disambut dengan paluan kompang dan senyuman manis En. Zamani b. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari dan barisan guru penolong kanan serta guru-guru SK Mohd Khir Johari.


Selepas bacaan doa, guru besar memberi ucapan alu-aluan.  Ini diikuti dengan ucapan daripada wakil Jabatan Pelajaran Negeri Johor, unit pencen yang dijemput hadir pada majlis tersebut.  Kemudian, En. Hussein menyampaikan ucapan buat kali terakhir di hadapan warga SK Mohd Khir Johari.  Dengan kata berselang pantun dan madah, ucapan beliau benar-benar menyentuh hati para pendengar.  Jasa dan pengorbanannya dalam membantu bidang pendidikan sungguh meluas.  Malah, beliau juga pernah dipilih menjadi pembentang kertas kerja kewangan sekolah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.


Bagi mengenang jasa dan pengorbanan beliau dalam bidang pendidikan, pihak sekolah dan guru-guru telah menyumbangkan pelbagai hadiah kenang-kenangan kepada En. Hussein bin Ahmad.  Sekalung terima kasih dan penghargaan kepada beliau atas segala jasa yang telah dicurahkan.  Budi tuan tidak dilupa, kekal mewangi sepanjang zaman.

Selasa, 7 Disember 2010

*MAJLIS PERSARAAN PN. CHEOK CHAI HOON*

Pada hari Isnin, 15 November 2010 jam 12.00 tengah hari, pihak sekolah telah mengadakan majlis persaraan untuk Pn. Cheok Chai Hoon, Guru Penolong Kanan Kokurikulum.



Selasa, 31 Ogos 2010

*MAJLIS PERSARAAN PN RAHIMAH BT. A.K. KOYAKUTTY*

Pada hari Jumaat, 27 Ogos 2010 jam 10.00 pagi bertempat di Dewan Sekolah, pihak Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari telah mengadakan majlis persaraan untuk seorang lagi warga sekolah ini iaitu Pn. Rahimah bt. A.K. Koyakutty yang bertugas sebagai Pembantu Am Rendah di pejabat sekolah.


Majlis pada pagi itu dimulakan dengan ucapan Tn. Guru Besar, En. Zamani b. Hj. Ahmad.  Ini diikuti oleh bacaan biodata oleh juruacara Pn. Asiah bt. Munajam. Seterusnya majlis menjemput Pn. Rahimah menyampaikan ucapan.  Walaupun ucapan beliau agak ringkas namun memberi banyak makna kepada para hadirin semua.


Pn. Rahimah telah berkhidmat di beberapa buah sekolah termasuklah SMK Tasek Utara, SJK Cina Pandan dan SK Mohd Khir Johari.   Setelah berkhidmat lebih 25 tahun, kini Pn. Rahimah bersara wajib pada usia 58 tahun. Perwatakannya yang ceria dan dedikasi menyebabkan ramai warga sekolah ini yang akan rindu kepadanya kerana pada setiap pagi selalunya Pn. Rahimah akan mencari guru-guru untuk  tugasan "relief".


Jasa dan pengorbanan Pn. Rahimah selama ini kepada pihak sekolah akan dikenang sampai bila-bila.   Segala salah dan silap, maaf jua yang kami pinta.   Jika ada kelapangan jemputlah datang ke sekolah.  Pintu sekolah ini sentiasa terbuka untuk warga pendidikan yang banyak berjasa.


Akhir kata, Selamat Bersara kepada Pn. Rahimah.  Semoga gembira dan sihat selalu di samping keluarga tercinta.  Segala kenangan manis sewaktu berada di sekolah ini akan kekal abadi tersimpul rapi.  Terimalah serangkap pantun daripada kami warga SKMKJ.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.