Memaparkan catatan dengan label Hari Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Raya. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Oktober 2010

*RUMAH TERBUKA AIDILFITRI*

Pada hari raya tahun ini, banyak guru yang mengadakan "Rumah Terbuka".  Antara guru-guru yang mengadakan rumah terbuka ialah Cikgu Abd Fatah b. Yahya, Pn. Inon bt. Markusin dan Cikgu Mohd Yasim b. Musa.



Rumah Cikgu Abd Fatah terletak di Taman Sri Skudai.  Beliau mengadakan rumah terbuka pada 3 Oktober yang lalu bermula jam 2.00 petang.  Sewaktu kami sampai ke rumah beliau, kami terpegun dengan keunikan rumah yang baru dibelinya itu.  




Sambil menikmati juadah yang disediakan, Cikgu Abd Fatah mesra melayan tetamu yang hadir ke rumahnya.  Antara menu istimewa yang disediakan ialah Nasi Baryani dan laksam.  Sehingga jam 6.00 petang, masih ramai rakan-rakan guru dari SK Mohd Khir Johari yang hadir ke rumah beliau.  Bagi pihak sekolah, terima kasih daun keladi kami ucapkan, tahun depan jemputlah lagi. 



Sementara itu, Cikgu Yassim pula mengadakan rumah terbuka dengan menjemput guru-guru ke rumah beliau di Kuarters Guru selepas solat Jumaat.  Selain itu, guru-guru yang tinggal di kuarters ini juga mengadakan marhaban pada 1 Oktober yang lalu pula kira-kira jam 8.00 malam.




Antara guru-guru yang mengadakan marhaban pada malam tersebut ialah Cikgu Yassim, Cikgu Majid, Cikgu Habibah, Cikgu Rafidah, Cikgu Noraishah dan Cikgu Rosminah.  Walaupun dalam kesederhanaan, majlis tetap meriah.  Syabas kepada penghulu dan guru-guru di kuarters ini kerana menghidupkan suasana Syawal.

Selasa, 14 September 2010

*SAMBUTAN HARI RAYA 2010*

Pada tahun ini umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri  pada hari Jumaat, 10 September 2010.  Pelbagai aktiviti dilakukan pada malam menyambut Hari Raya Aidilfitri.   Ada yang mungkin sedang :

  • memasang langsir
  • membeli belah 
  • bermain bunga api
  • memasang pelita
  • menghias rumah
  • menjual kuih
  • bertahmid di surau dan masjid
  • menonton televisyen
  • memandu kereta pulang ke kampung dan
  • memasak juadah raya
Pada pagi Hari Raya Aidilfitri,  selepas mandi sunat Hari Raya, umat Islam beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau atau masjid.  Ada juga surau dan masjid yang menyediakan juadah untuk tetamu yang hadir selepas selesai menunaikan solat.



Namun, apa yang lebih penting kita dapat bertemu rakan-rakan dan masyarakat setelah selesai bersolat.  Mungkin ada yang sibuk belajar atau bekerja di tempat lain dan pulang ke kampung halaman ketika berhari raya.  Inilah peluang untuk berjabat tangan dan bersua muka.  Wajah yang dahulu kecil menjadi remaja.  Yang muda pula beransur dewasa.  Yang dewasa beransur tua dan mungkin ada juga yang lebih dahulu meninggalkan kita.  


Pada hari yang mulia ini juga, umat Islam digalakkan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan.   Kunjung mengunjung ke rumah jiran tetangga atau ahli keluarga memberi makna sebenar kepada sambutan Hari Raya. Ada yang menziarahi kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia.  Inilah kesedaran bahawa setiap yang bernyawa pasti akan berakhir.


Bagi kanak-kanak  pula, Hari Raya ialah hari mendapat "collection".  Ada yang menunggu duit raya daripada ibu bapa, abang, kakak, pak cik dan makcik serta saudara mara.  Tidak kurang juga yang berjalan raya ke rumah jiran untuk membuat "collection".

Satu lagi yang menarik tentang bulan Syawal ini ialah sambutan Hari Raya berlangsung selama sebulan dan kadang-kadang terlajak dua hingga tiga bulan.  "Open House" yang diadakan pada hujung minggu tidak mencukupi untuk diselesaikan dalam masa satu bulan.  Maka beruntunglah mereka yang mendapat banyak jemputan kerana dapat jimat duit makan!


Kepada para pelayar blog sekolah, terima kasih diucapkan kerana sudi menulis catatan Hari Raya Aidilfitri pada ruangan autograf.   Selamat Hari Raya untuk anda. Anda "best".

(sebahagian daripada ucapan yang ditulis dalam blog  skmkj.blogspot.com)

Terima kasih atas ucapan anda.  Anda "sporting".