Hari Raya Aidiladha merupakan hari yang istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia. Aidiladha pada tahun ini disambut pada 17 November 2010 iaitu pada hari ke-10 Zulhijjah. Sebenarnya sambutan Aidiladha berterusan pada hari kesebelas, dua belas dan tiga belas dalam bulan Zulhijjah setiap tahun.
Pada malam 10 Zulhijjah, umat Islam di seluruh pelusuk dunia bertakbir menyambut kedatangan Aidiladha yang mulia. Keesokan paginya pula dengan berpakaian bersih dan kemas, umat Islam berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha. Selepas itu, ibadah korban pula dilaksanakan. Biasanya sambutan Aidiladha di kampung-kampung lebih meriah jika dibandingkan dengan kawasan bandar.
Pada kebiasaanya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmah dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.
Hikmah dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan tanggungjawab dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Bagi Aidiladha, disunatkan makan selepas solat Aidiladha supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat.
Haiwan korban iaitu unta, lembu, kambing dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya golongan fakir miskin.
Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.
Di sebalik sambutan Aidiladha yang mulia, ada cerita yang tersirat. Aidiladha adalah perayaan untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Peristiwa Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah juga berlaku pada 10 Zulhijjah. Semoga Hari Raya Aidiladha pada tahun ini memberi makna pengorbanan yang lebih bererti kepada kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan