Jumaat, 31 Disember 2010

*KSSR - GANTI KBSR?*


Adakah KBSR akan dimansuhkan?


Bermula 2011 semua murid Tahun 1 akan mengikuti KSSR.   Ramai ibu bapa yang masih tertanya-tanya dengan perubahan ini.  Adakah KSSR akan menggantikan KBSR?  


TIDAK.  KSSR tidak menggantikan KBSR.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, KSSR tidak menggantikan KBSR tetapi beriringan dengan KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah)

KSSR ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah.  Ini bermaksud, semua murid yang berada di Malaysia akan diajar kurikulum yang standard.  Modul yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran adalah rujukan utama.  Guru-guru yang mengajar Tahun 1 telah pun diberi kursus dan penerangan tentang pelaksanaan KSSR ini.
KSSR yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu:

Modul Asas Teras
Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT), Matematik serta Pendidikan Islam/Moral, Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Jasmani.


Modul Asas Tema
Dunia Kesenian dan Dunia Sains dan Teknologi.   Masing-masing mendedahkan kemahiran berkaitan seni visual dan muzik serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat. 


Modul Asas Elektif
Bahasa Arab, BC Sekolah Kebangsaan, BT Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.
Tahap Satu sekolah rendah (Tahun 1 hingga 3) akan tertumpu pada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.

Tahap Dua sekolah rendah pula (Tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.   Bagi kurikulum Tahap Dua pula membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk subjek teras dan elektif dan dilaksanakan mulai 2014.  Antara subjek baru yang bakal diperkenalkan ialah Reka Bentuk dan Teknologi Maklumat/ICT dan Sejarah.

Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun di seluruh negara.   Tumpuan di peringkat pra sekolah ialah perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal kemahiran 4M.

Enam tunjang menjadi teras pelaksanaan KSSR:
-komunikasi
-perkembangan fizikal dan estetika
-kemanusiaan
-keterampilan diri
-sains dan teknologi
-kerohanian, sikap dan nilai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan