Selasa, 22 Jun 2010

*CADANGAN PEMANSUHAN UPSR DAN PMR*

Petikan Utusan Online 20 Jun 2010

MUAR 20 Jun — Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.


Beliau berkata, peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam. Katanya, pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.


Petikan Utusan Online 21 Jun 2010

KUALA LUMPUR 21 Jun – Pandangan guru dan ibu bapa akan dikaji terlebih dahulu sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom. Menurut beliau, cadangan pemansuhan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah satu langkah yang positif untuk perkembangan pendidikan di negara ini, namun persetujuan semua pihak harus dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Kita akan mengumpul pandangan guru-guru dan ibu bapa terlebih dahulu melalui sumber seperti akhbar dan media, dan pandangan mereka akan dibawa kepada Tan Sri Muhyiddin untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini. Alimuddin juga berpendapat, pendidikan negara selama ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan perubahan perlu dibuat selaras dengan falsafah pendidikan negara yang mementingkan pembangunan modal insan. Sementara itu, beliau berkata, kemasukan pelajar ke sekolah menengah yang dinilai melalui UPSR sebelum ini akan diteruskan dengan penilaian akhir tahun sekolah sahaja. "Kemasukan pelajar ke sekolah menengah akan dinilai melalui peperiksaan penilaian berasaskan sekolah,” katanya. 
 
Petikan Bernama Online 22 Jun 2010 

BANGI, 22 Jun (Bernama) - Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini melibatkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.
"(Ujian khas) ini akan terus digunapakai," kata Shafie kepada pemberita di sini Selasa bagi mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Jun lepas berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. MRSM mengambil kira-kira 9,000 pelajar baru setiap tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan