Isnin, 15 November 2010

*BANGUNAN PENCAKAR LANGIT*

Apakah bangunan pencakar langit tertinggi di dunia sekarang?
Apakah ada perbezaan antara bangunan dan menara?
Mengapakah manusia suka membina bangunan tertinggi di dunia?




Hari ini para arkitek atau jurubina berlumba-lumba mencipta bangunan dan menara tertinggi di dunia.  Semakin tinggi struktur pencakar langit yang dihasilkan semakin hebat negara tersebut dipandang orang. Biarpun berbilion wang yang dibelanjakan namun tidak menghalang manusia mengejar kepuasan dan kebanggaan.


Burj Khalifa Dubai
Bangunan tertinggi di dunia ini didirikan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.   Ketinggian bangunan ini ialah 828 meter.   Pembinaan bermula pada 21 September 2004 dan selesai disiapkan pada 1 Oktober 2009.  Perasmiannya dibuat pada 4 Januari 2010 yang lalu.   Jumlah perbelanjaan sekitar AS$1.5 bilion.   Bangunan ini mempunyai 160 buah tingkat.  Terdapat sebuah masjid pada tingkat 158.   Selain itu, bangunan ini menempatkan hotel, rumah kediaman dan restoran.


Menara Abraj Al Bait
Menara kedua tertinggi di dunia ini menggabungkan kompleks bangunan dan menara jam yang dibina di kota Mekah, Arab Saudi.   Bangunan yang berjaya disiapkan pada tahun 2010 ini setinggi 601 meter dan mempunyai 76 tingkat.   Terdapat rumah kediaman, pusat membeli-belah, hotel dan ruang persidangan di bangunan ini.    Jam di puncak menara ini dapat dilihat dari seluruh kota Mekah.  Jam ini juga merupakan jam terbesar di dunia dan 5 kali lebih besar daripada Big Ben di London.



Menara Taipei 101
Bangunan yang mempunyai 101 tingkat ini dibina di Taipei, Taiwan.   Dengan ketinggian 509 meter, bangunan ini merupakan bangunan ketiga tertinggi di dunia.   Bangunan ini siap dibina pada tahun 2004 dan dirasmikan pada 31 Disember 2004.   Bangunan ini menempatkan pusat kewangan antarabangsa Taipei.   Menara ini mengandungi pasar raya setinggi enam tingkat, kedai-kedai dan restoran.

 

Menara Pusat Kewangan Dunia Shanghai
Pusat Kewangan Dunia Shanghai ialah menara keempat tertinggi di dunia.   Menara ini terletak di Shanghai, China.   Menara ini mempunyai pelbagai kegunaan seperti pejabat, hotel, muzium dan kedai.   Bangunan ini setinggi 494 meter dan mempunyai 101 tingkat.   Bangunan ini mula dibina pada tahun 1997 dan siap dibina pada tahun 2008.   Bangunan ini mendapat biaya daripada syarikat Jepun, China, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Eropah.               


Menara Berkembar Petronas
Menara Berkembar Petronas merupakan menara berkembar tertinggi di dunia.   Menara ini terletak di Kuala Lumpur.  Paras ketinggiannya ialah 452 meter kurang sedikit dairpada ketinggian Menara Taipei 101.  Menara ini dibuka secara rasmi pada 31 Ogos 1999.   Menara berkembar Petronas mempunyai 88 tingkat.   Menara ini mengekalkan motif kesenian Islam untuk mencerminkan agama Islam di Malaysia.   Satu lagi pengaruh Islam ialah keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk Rub el Hizb.  Terdapat ruang pejabat, kedai, Petrosains dan dewan pementasan di bangunan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan