Isnin, 8 November 2010

*KEKUATAN DOA*

Pada hari Rabu, 3 November 2010 sekitar jam 8.00 pagi berhampiran Restoran Tapah, Taman Suria, Johor Bahru saya meletakkan kereta untuk bersarapan pagi.  Saya sudah biasa bersarapan di situ.  Kuih, nasi ambang, mi goreng dan berjenis-jenis sarapan pagi tersedia di situ. 

Restoran yang terletak di "corner" Jalan Tapah memang menjadi tumpuan orang ramai termasuklah pelancong dari Singapura.  Mereka yang hendak ke pejabat juga akan singgah di situ.  Maka berderet-deretlah kereta yang di letakkan di sekitar Restoran Tapah.




Pada hari Rabu itu, selepas makan nasi ambang berharga RM2.50 dan secawan milo panas RM1.40, saya bergerak menuju ke kereta.   Ketika hendak membuka pintu hadapan, saya melihat butiran-butiran kaca di tempat duduk belakang.  Suatu keadaan yang agak aneh.  Namun, apabila saya meneliti semula keadaan yang berlaku barulah saya sedar bahawa kereta saya telah dipecah orang.

Agak terkejut dan panik seketika.  Kita biasa mendengar orang mengalami peristiwa ini tetapi apabila kita yang mengalaminya keadaan sangat menyakitkan.  Benarlah kata pepatah Melayu, "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul ".

Seketika saya bingung dan tidak tahu hendak ke mana kerana perancangan saya selepas bersarapan saya perlu ke pejabat kawan saya dan membantunya menyiapkan dokumen penting.  Apabila sedar beg hitam saya yang berisi laptop serta peralatan komputer yang lain telah diambil orang, saya rasa menyesal, sedih dan terkilan.   Namun segalanya sudah terlambat.
Saya menghubungi kawan saya.  Dia juga terkejut.  Kemudian, saya pula bergerak ke balai polis untuk melaporkan perkara yang berlaku.. Lokasi yang tidak ada dalam senarai saya hari itu.  Apabila direnungkan semula..hanya kerana mengejar sebungkus nasi ambang dan secawan milo, saya kehilangan harta yang saya sayang.
Ketika saya berjumpa dengan pekerja-pekerja di situ dan menceritakan peristiwa yang berlaku, mereka hanya tersenyum sahaja.  Sudah biasa! 

Ah, mengapalah tidak ada papan tanda di situ yang mengingatkan saya.. Mengapalah pencuri itu tidak pernah serik dengan apa yang dilakukan? Tidak adakah orang yang melihat kereta saya yang dipecahkan orang? Siapalah mangsanya selepas ini? Apakah yang boleh saya lakukan? 

Saya hanya mampu berdoa dan menaruh harapan.  Moga satu hari nanti saya akan dapat semula barang-barang yang hilang itu. Tiada apa yang mustahil kalau kita percaya kepada kekuatan doa.  Marilah bersama-sama saya berdoa agar pencuri itu dilembutkan hatinya dan memulangkan semula hak saya yang bukan miliknya.  Amin.

1 ulasan: