Sabtu, 28 Julai 2012

*AWAS - BUKU PEROSAK AKIDAH*

Satu laporan polis telah dibuat tentang penjualan buku-buku ini yang didapati boleh memesong akidah murid-murid sekolah.  TV3 hari ini menyiarkan berita tentang buku-buku terbitan daripada sebuah syarikat yang beroperasi di Banting, Selangor kerana kandungannya meragukan dan terdapat ilustrasi yang tidak bersesuaian. Bagaimana buku-buku ini  telah berjaya dikesan oleh pihak Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari hingga mendapat liputan pihak media?


Suatu hari Cikgu Rahmat Hidayat (Guru sesi petang SKMKJ) telah mendapati terdapat penjualan buku-buku di luar kawasan sekolah tanpa kebenaran pihak sekolah.  Kandungan buku itu dicurigai beliau apabila melihat kulit luar buku betajuk Kisah Malaikat yang dibaca oleh seorang murid tahun dua.  Setelah meneliti kandungan buku itu, didapati penerbit buku telah sengaja memaparkan gambar "angel" yang dianggap sebagai lakaran wajah malaikat oleh penganut agama Kristian.


Pihak sekolah telah mengumpulkan buku-buku cerita yang lain yang telah dibeli oleh murid-murid.  Terdapat pelbagai aspek dalam buku-buku cerita tersebut yang menyalahi akidah dan didapati tidak sesuai sebagai bacaan murid sekolah. Laporan polis telah dibuat oleh Puan Guru Besar, SK Mohd Khir Johari iaitu Pn. Yos Fatimah bersama-sama dengan Cikgu Rahmat Hidayat di Balai Polis Majidi, Johor Bahru.  Ketua Unit Penguatkuasa, Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Cawangan Negeri Johor yang mengunjungi SK Mohd Khir Johari mengesahkan penerbitan buku-buku tersebut menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.  Malah penerbit buku itu tidak menulis nombor pendaftaran syarikat, tiada nombor telefon dan tiada alamat penerbit yang lengkap.



Kepada para guru dan ibu bapa diharap dapat mengawasi sumber bahan bacaan anak-anak agar tidak tergelincir akidah mereka kerana mungkin ada edaran buku-buku yang merosak akidah berselindung di sebalik nama buku akademik dan buku Islam.  Seperti buku "Kisah Malaikat", lakaran Nabi Musa yang pergi ke bukit Tursina boleh menyesatkan akidah umat Islam.  Begitu juga dengan terjemahan ayat Al Quran di dalam buku-buku yang dijual oleh penerbit ini agak mengelirukan apatah lagi jika dibaca oleh kanak-kanak.  Unsur-unsur khurafat dalam kisah alam kubur dijadikan daya penarik sebagai bahan bacaan kanak-kanak.


Ketika pegawai polis peronda tiba di kawasan sekolah, penjual buku yang menggunakan kereka Perodua Myvi warna kelabu dengan no pendaftaran wilayah itu telah berlalu pergi, mungkin kerana masa rehat telah pun tamat.  Namun, usaha untuk menyebarkan maklumat ini perlu diteruskan agar tiada murid-murid dari sekolah lain pula yang akan menjadi mangsa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan