Ahad, 29 Mei 2011

*KEMULIAAN AL QURAN DAN KECANGGIHAN KOMPUTER"




Bilakah kali terakhir kita membuka Al Quran dan membacanya?
Bilakah kali terakhir pula kita menggunakan "laptop' atau komputer riba?
Jika ada masa terluang, apakah yang kita cari?


Dewasa ini ramai orang yang gemar menghabiskan masa berjam-jam di hadapan laptop sama ada untuk menyiapkan kerja atau melayari internet namun ...
tidak pula meluangkan masa untuk membuka Al Quran dan membaca surah-surah di dalamnya.


Kewujudan laman sesawang "facebook" mampu merapatkan hubungan sesama manusia walau di mana kita berada.  Malah, hubungan ini dieratkan lagi dari sehari ke sehari melalui kecanggihan sistem komunikasi telefon bimbit. Anehnya, hubungan manusia dengan Tuhan yang esa tidak pula diperbaiki malah ada yang semakin menjauhkan diri.

Al Quran merupakan kalam Allah s.w.t yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibrail. Kitab yang mempunyai seribu hikmah ini merupakan mukjizat istimewa Rasulullah yang kekal hingga ke akhir zaman dan menjadi pedoman umat Islam di seluruh dunia dalam mencari kebesaran Allah yang maha esa.

Antara hikmah membaca Al Quran ialah jiwa menjadi tenang dan hati menjadi tenteram.   Malah, kita mendapat pahala apabila membaca ayat-ayat yang terkandung di dalam Al Quran yang mulia.   Membaca Al Quran harus dilakukan dengan tartil, perlahan-lahan dan sesuai dengan ilmu tajwid.   Ibnu Mas'ud berkata, "Janganlah kalian membaca Al Quran dengan amat perlahan seperti memungut buat kurma satu demi satu dan jangan pula membacanya dengan amat cepat seperti membaca syair.  Namun berhentilah pada keajaiban-keajaibannya dan meresaplah di dalam hati.  Hendaklah perhatian kalian tidak berfokus kepada akhir surat."

Seseorang yang membaca Al Quran dengan kerelaan hatinya,  pasti terbuka minda lantas menyedari ke arah mana akhir kehidupan mereka.   Sesungguhnya mati itu benar.  Setiap yang bernyawa pasti akan mati.


Hari ini, ramai orang yang menyedari keagungan Al Quran tetapi jarang-jarang membacanya.   Kemunculan teknologi seperti televisyen, telefon bimbit dan komputer menjadi tarikan yang mengalpakan mereka.  Alat-alat teknologi ini digunakan setiap hari dan setiap masa.  Jika berpisah dengan alatan ini pasti hidup mereka tidak keruan dan serba tak kena.

Bangun pagi...pasti telefon bimbit, televisyen atau komputer yang dicari.  Al Quran dipandang sepi. Hiburan dunia lebih diagungkan.  Al Quran yang boleh memberi ketenangan rohani hanya digunakan untuk majlis tertentu sahaja.  Jika inilah amalan yang diteruskan dalam kehidupan kita, apakah bahagia akan menanti?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan