Tunku Ismail, Johan Cryuff dan Dato Shahrir |
Kehadiran Tunku Ismail bersama-sama dengan lagenda bola sepak Belanda iaitu Johan Cruyff yang juga pengasas "Cruyff Court" mendapat sambutan yang hangat dan meriah daripada warga SKMKJ. Selain itu, guru-guru dan murid-murid juga telah berpeluang bertemu dengan lagenda "Raja Bola" negeri Johor iaitu Datuk Abdul Ghani Minhat, bekas penjaga gol bola sepak kebangsaan iaitu Salleh Mohd Noor dan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Johor iaitu Fandi Ahmad yang turut sama menghadiri majlis pembukaan Cruyff Court.
Ahli Parlimen Johor Bahru iaitu Tan Sri Shahrir Samad, Ketua Eksekutif Iskandar Invesment Berhad iaitu Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan juga kakitangan daripada Yayasan Johan Cryuff mengiringi rombongan yang dinanti-nantikan ini.
Gelanggang yang diberi nama "Cruyff Court Iskandar" merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan Johan Cruyff dalam kemajuan bola sepak di dunia. Projek pembinaan gelanggang Cruyff telah dibiayai oleh syarikat terunggul di Nusajaya iaitu Iskandar Investment Bhd (IIB), anak syarikat kepada Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Yayasan Johan Cruyff.
Gelanggang Cruyff yang unik ini memberi peluang kepada golongan remaja yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah untuk bergiat dan cemerlang dalam bidang sukan khasnya dalam permainan bola sepak. Ia memberi inspirasi kepada semua berdasarkan kejayaan Johan Cruyff yang telah mewakili Belanda sekitar tahun 70-an dan juga berjaya membawa Barcelona ke mercu kejayaan bola sepak dunia.
Kehadiran para tetamu pada jam 10 pagi itu disambut oleh kumpulan "cheer group", silat serta tarian zapin membuka tirai perasmian pada pagi itu. Kemudian, gelanggang Cruyff dengan rasminya dibuka melalui sepakan penalti oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail. Kemudian, para tetamu jemputan melakukan aksi tendangan bola bersama-sama murid-murid yang berada di sekitar gelanggang.
Ini diikuti dengan acara pertandingan futsal 5 sebelah antara SK Mohd Khir Johari dan SK Majidi Baru. Pertandingan telah dimenangi oleh SK Mohd Khir Johari melalui sepakan penalti 3-0 setelah seri 2-2. Tahniah SKMKJ. "We always no 1."
Tahniah kepada Guru Besar Pn Yos Fatimah bt.Selamat, barisan GPK, guru-guru dan murid-murid serta para pekerja yang telah membuat persiapan dalam menjayakan majlis yang gemilang ini. Majlis perasmian ini juga telah disiarkan dalam Berita TV1 jam 8.30 malam pada 4 September 2012. Terima kasih kepada semua pihak yang menjadikan impian satu kenyataan. :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan