Pada hari Sabtu, 9 April 2011 jam 8.15 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat, SK Mohd Khir Johari telah diadakan program Jayawaris untuk ibu bapa murid-murid Tahun 6 KRK1 (Kelas Rancangan Khas) dan 6 KRK2. Dua buah kelas ini merupakan kelas harapan untuk mencapai sasaran 5A dalam UPSR sekaligus mencapai sasaran sekolah pada tahun ini iaitu "Terbaik Dalam Sejarah SKMKJ". Taklimat pada pagi itu telah disampaikan oleh...
En. Mohd Shukri b. Sultani, GPK Kurikulum, SK Mohd Khir Johari.
- Memberi pendedahan kepada ibu bapa atau waris murid berkenaan tentang prestasi dan kedudukan sebenar anak-anak mereka dalam peperiksaan penilaian serta usaha yang perlu dipertingkatkan agar dapat mencapai keputusan yang benar-benar cemerlang dalam UPSR 2011.
- Berkongsi pendapat atau maklumat penting di antara guru-guru dan pihak ibu bapa tentang prestasi anak-anak mereka.
- Mendapat kerjasama daripada ibu bapa dalam memberikan bimbingan akademik serta sahsiah kepada anak-anak.
- Untuk memberi galakan dan memupuk semangat di kalangan ibu bapa dalam memberi bimbingan akademik di rumah.
Program Jaya Waris ini merupakan salah satu program usahasama dengan
pihak pentadbiran sekolah,guru-guru tahun 6 KRK 1 dan 6 KRK 2 serta Unit
Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari. Semasa sesi
pendaftaran dijalankan, ibu bapa dikehendaki mengisi butiran-butiran yang
diperlukan seperti nama, nombor telefon dan sebagainya.
Pada tahun ini, Tahun 6
KRK 1 dan 6 KRK 2 masing-masing mempunyai 33 orang murid dalam satu kelas dan
menjadikan jumlah besar murid untuk kedua-dua kelas ini ialah seramai 66 orang.
Seramai 33 orang ibu bapa telah hadir ke program tersebut. Manakala 33 orang
lagi tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
En. Md. Shukri Bin Sultani mengalu-alukan kedatangan ibu bapa ke sekolah dalam menjayakan Program
Jaya Waris Tahun 6 KRK ini. Seterusnya,
beliau memberikan penerangan tentang prestasi
murid-murid Tahun 6 KRK dengan menggunakan ‘Data Headcount’. Berdasarkan "Data Headcount’ ini, semua ibu bapa dapat melihat dengan jelas
prestasi anak-anak mereka berdasarkan peperiksaan-peperiksaan sebelum ini.
‘Data Headcount’ ini dipaparkan dengan menggunakan LCD supaya ibu bapa
dapat melihat dengan jelas. Di samping itu juga, ibu bapa diberi peluang untuk
memberikan pendapat atau mengemukakan soalan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan
sepanjang penerangan diberikan. Selain itu, Guru Penolong Kanan 1 turut
berkongsi bahan motivasi dari pakar motivasi terkenal Dato’ Dr. Hj. Fadzilah Kamsah tentang cara-cara
mendidik anak dan amalan-amalan yang berguna untuk anak-anak menjadi
insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Pada jam 11.30 pagi, program diteruskan dengan menjemput wakil ibu bapa
iaitu En. Mohd Azman yang merupakan waris kepada murid 6 KRK 2 Nur Amirah Bt
Mohd Azman. Beliau merupakan salah seorang daripada Pegawai Jabatan Pendidikan
Negeri Johor. Beliau memberi pendedahan tentang kelayakan dan panduan kemasukan anak-anak
ke sekolah-sekolah mengikut aliran semasa. Sebelum program ini ditamatkan, ibu
bapa diberikan peluang untuk mencoretkan
kata-kata perangsang untuk anak-anak mereka di atas kain rentang yang
disediakan oleh pihak sekolah.Pihak sekolah telah menghasilkan dua kain rentang
bagi mewakili dua kelas tahun enam iaitu 6 KRK 1 dan 6 KRK 2. Kain rentang ini
merupakan simbolik galakan untuk anak-anak mereka agar dapat merealisasikan
harapan sekolah untuk mendapat 5A dalam UPSR
pada tahun ini.
Di atas kain rentang ini
turut disertakan bersama foto setiap murid dari 6 KRK 1 dan 6 KRK 2. Pelbagai
kata-kata semangat yang cukup memberangsangkan dicoretkan oleh para ibu bapa di
atas kain rentang tersebut.Ia bertujuan membakar semangat anak-anak mereka agar
lebih berusaha mencapai yang terbaik dalam UPSR pada tahun ini.Program Jaya
Waris ini selesai pada jam 12.00 tengahari dan semua ibu bapa menikmati jamuan
ringan yang telah disediakan oleh pihak sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan