Pusat Sumber Sekolah ialah "zon istimewa" di sekolah. Pusat Sumber menjadi tempat rujukan kepada guru-guru dan murid-murid. Dahulu ramai orang mengenali Pusat Sumber sebagai perpustakaan tetapi kini konsep Pusat Sumber lebih...
meluas kepada kawasan-kawasan istimewa di sekolah. Antaranya ialah:
01. Perpustakaan
02. Bilik Tayang/Media/Audio Visual
03. Bilik SAL/PAK
04. Bilik Bahan Bantu Mengajar
05. Bilik PPSMI
06. Bilik Akses
07. Makmal Komputer
08. Pondok Bacaan
09. Bilik Radio Sekolah
10. Galeri Sejarah
Secara realiti, Guru Perpustakaan Media perlu memberi tumpuan kepada pengurusan perpustakaan. Pelbagai tugasan telah ditetapkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan kepada Guru Perpustakaan dan Media. Dari tugas membeli buku, memproses buku, mengkatalog buku, memasukkan data buku untuk sistem automasi, mengendalikan urusan peminjaman dan pemulangan buku, menyediakan laporan kewangan pusat sumber, mengemaskini stok buku, menceriakan dan mengemas perpustakaan, mengurus program Nilam, mengumpul buku Nilam, menyediakan sijil Nilam, memilih pengawas perpustakaan dan melantik pengawas perpustakaan, menyediakan fail pusat sumber dan sehinggalah pelbagai tugasan lain...semuanya perlu dilaksanakan oleh Guru Perpustakaan dan Media.
Dalam zaman IT ini pula, maklumat tentang program Pusat Sumber dipantau oleh Kementerian Pelajaran dengan menggunakan sistem iQ-PSS "online". Justeru, GPM selain bertanggungjawab dalam mengajar anak didiknya, mereka juga mestilah cekap dalam melaksanakan aktiviti Pusat Sumber di sekolah.
Di sesetengah sekolah, tugasan ini akan lebih mencabar apabila Pusat Sumber diletakkan di tingkat yang paling atas atau paling tinggi di sekolah tersebut contohnya di tingkat 4 bangunan sekolah. Lebih malang lagi jika bangunan itu terasing dengan bangunan yang lain dan tandas pula hanya di aras paling bawah!
Jika GPM terus mengeluh, mengapa saban tahun Bahagian Teknologi Pendidikan mengumumkan nama sekolah-sekolah yang terpilih sebagai Pusat Sumber Cemerlang? Ini disebabkan sekolah-sekolah yang terlibat telah berjaya melahirkan kumpulan warga kerja yang cemerlang sama ada dari kalangan guru mahupun para pelajarnya. Mereka bergerak sederap selangkah dalam satu "team" yang hebat! Mereka menangkis cabaran demi menggapai impian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan