LAMAN UTAMA

Selasa, 14 Disember 2010

*INSURANS - ANDA MEMILIKINYA?*

Adakah anda memiliki insurans?
Insurans apa yang anda miliki?

Insurans hayat?
Anuiti persaraan?
Insurans berkaitan pelaburan?
Polisi pendidikan anak?
Insurans perubatan dan kesihatan?
Insurans empunya rumah/isi rumah?
Insurans motor?
Insurans kemalangan diri?
Insurans perjalanan?

Begitu banyak jenis insurans yang ada pada hari ini, apakah insurans yang TELAH anda miliki?


Kereta dan rumah merupakan harta yang sangat berharga.   Berharga kerana harganya mahal!  Apabila seseorang membeli kereta dan rumah, mereka perlu mengambil insurans untuk kereta dan rumah yang mereka beli.  Kereta dan rumah  ini dilindungi oleh insurans. Ini bermaksud jika rumah mereka terbakar atau kereta mereka dicuri, syarikat insurans akan membayar pampasan atau ganti rugi kepada mereka.

Bagi kanak-kanak atau murid sekolah, konsep insurans belumlah difahami oleh mereka.   Malah ada yang keliru dengan perkataan ansuran dan insurans.   Bayar secara beransur-ansur.   Memang kita perlu bayar duit kereta dan rumah secara beransur-ansur tetapi kita juga perlu membeli insurans untuk kereta dan rumah tersebut.
Bagi murid sekolah mahu pun pelajar sekolah, mereka dilindungi dengan insurans Takaful. Walau di mana mereka berada dan pada bila-bila masa, mereka akan dilindungi insurans Takaful tersebut.   Masih terdapat banyak salah tanggapan tentang insurans Takaful untuk murid dan pelajar ini.

Ada yang beranggapan, murid-murid ini hanya dilindungi pada hari sekolah dan ketika berada di Malaysia sahaja.   Tanggapan ini adalah tidak benar.    Bertanyalah kepada syarikat Takaful Malaysia untuk mendapat maklumat yang sebenar.   Yang penting, yuran takaful setiap tahun telah dijelaskan kepada guru kelas masing-masing.

Bagaimana pula dengan orang dewasa terutama para guru di sekolah?  Apakah mereka juga boleh menyertai insurans takaful untuk murid-murid ini? TIDAK.   Mereka perlu berusaha sendiri.   Ada banyak syarikat insurans yang bersusah payah menyediakan kempen untuk orang ramai termasuklah guru-guru.

Antara syarikat insurans yang terkenal ialah Great Eastern.  Pelbagai pakej insurans yang ditawarkan.  Dapatkan ejen insurans Great Eastern yang bertauliah dan bertanyalah kepada mereka.  Apabila membuat tuntutan, berhubunglah dengan ejen yang setia membantu anda.

Bagi masyarakat Islam yang mahukan insurans yang lebih terjamin tanpa rasa was-was, mereka boleh mendapatkan insurans dari Takaful Malaysia.   Takaful Malaysia bernaung di bawah Bank Islam Malaysia.   Apabila membuat tuntutan, anda berhubung terus ke pejabat Takaful Malaysia kerana tiada ejen disediakan. Ada kebaikan juga jika kita tidak bergantung kepada ejen, kerana jika ejen meninggal dunia atau berhenti dalam perkhidmatannya, kita tidak berasa bimbang.

Kini, lebih ramai orang mengambil insurans untuk perubatan dan kesihatan.   Insurans ini begitu penting pada masa kini.   Bayangkan jika anda terpaksa menjalani pembedahan dalam waktu yang terdekat dan kosnya agak tinggi.   Anda tentu bimbang dengan penyakit anda dan kos pembedahan yang besar.  Jika anda telah membeli Insurans Perubatan dan Kesihatan, anda dapat menjalani pembedahan dalam keadaan tenang.
Insurans Perubatan dan Kesihatan (IPK) ialah satu polisi yang melindungi kos perubatan swasta yang mahal seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan.   Polisi insurans ini juga memastikan kita tidak perlu bimbang mengenai kos bagi mendapatkan rawatan kecemasan.  Berhubunglah segera dengan syarikat insurans untuk mendapatkan IPK.   Bertindaklah dari sekarang dan jangan bertangguh kerana malang tidak berbau...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan