Selasa, 29 Jun 2010

*KEMPEN GALAKAN MEMBACA - NILAM*

SINOPSIS CERITA

Buku 1

Buku berjudul Doa Ibu ini dikarang oleh Talib Samat.   Buku ini mengandungi 232 muka
surat.  Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd menerbitkan buku ini pada tahun 2006.   Buku ini terdapat di perpustakaan sekolah dengan bar kod 002545. Buku ini merupakan buku fiksyen Bahasa Melayu.

Sinopsis cerita : Buku ini menghimpunkan sejumlah besar cerpen-cerpen remaja yang memfokuskan pelbagai tema dan persoalan hidup insan remaja dan dewasa di Malaysia.   Antara persoalan utama yang digarap oleh pengarang termasuklah persoalan pencemaran alam sekitar, keagamaan, kegigihan remaja miskin membangun cita-cita dan perjuangan membantu masyarakat.



Buku 2

Buku berjudul Kakakku Sayang ini dikarang oleh Hakimi Muhammad.   Buku ini mengandungi 73 muka surat.  Pustaka Ilham menerbitkan buku ini pada tahun 2006.   Buku ini terdapat di perpustakaan sekolah dengan bar kod 002548 . Buku ini merupakan buku fiksyen Bahasa Melayu.

Sinopsis cerita : Buku ini mengisahkan tentang Kamal yang malas menolong kakaknya Asrina.  Kerja-kerja rumah biasanya dilakukan oleh kakaknya.  Suatu hari kakaknya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.   Kamal yang tinggal di rumah tidak tahu membuat sebarang kerja.   Dia menyesal kerana tidak belajar dari kakaknya melakukan tugasan di rumah.





Buku 3


Buku berjudul Badai Semalam ini dikarang oleh seorang penulis tersohor iaitu Khadijah Hashim.  Buku ini mengandungi 222 muka surat.  K Publishing menerbitkan buku ini pada tahun 2000.   Buku ini terdapat di perpustakaan sekolah dengan bar kod 28074.  Buku ini merupakan buku fiksyen Bahasa Melayu.

Sinopsis cerita : Buku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup dua insan iaitu Mazni dan Zaki.   Mereka menempuh pelbagai cabaran, hujan dan badai dalam mencari nilai persahabatan.   Mereka sanggup berkorban demi orang yang tersayang.   Namun akhirnya Mazni meninggalkan Zaki untuk meneruskan cita-cita menjadi seorang mahasiswa di Kuala Lumpur.



Buku 4




Buku berjudul Sayang Tak Berbelah Bagi ini dikarang oleh WS Uzala.   Buku ini mengandungi 183 muka surat.  Sama Publications menerbitkan buku ini pada tahun 2006.   Buku ini terdapat di perpustakaan sekolah dengan bar kod 002547.  Buku ini merupakan buku fiksyen Bahasa Melayu.

Sinopsis cerita : Buku ini mengisahkan tentang pergolakan yang berlaku dalam sebuah keluarga Cina yang menguruskan kilang papan.   Tauke Chew bersama anak-anaknya menguruskan kilang tersebut.  Keluarga mereka dibantu oleh seorang pembantu rumah wanita bernama Nang Chian.  Pada masa yang sama, Tauke Chew berusaha mencari kakak kandungnya yang terpisah sejak kecil.


*KERATAN AKHBAR - NEW STRAITS TIMES*


Sekali lagi hasil nukilan En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari telah disiarkan di dalam akhbar New Straits Times bertarikh Khamis, 15 Jun 2010. Ini merupakan artikelnya yang keempat tersiar di dalam akhbar tersebut bagi tahun ini. Isu yang dikemukakan berkaitan dengan penyelenggaraan khasnya di kawasan Hutan Bandar Johor Bahru.

Selasa, 22 Jun 2010

*CADANGAN PEMANSUHAN UPSR DAN PMR*

Petikan Utusan Online 20 Jun 2010

MUAR 20 Jun — Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.


Beliau berkata, peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam. Katanya, pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.


Petikan Utusan Online 21 Jun 2010

KUALA LUMPUR 21 Jun – Pandangan guru dan ibu bapa akan dikaji terlebih dahulu sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom. Menurut beliau, cadangan pemansuhan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah satu langkah yang positif untuk perkembangan pendidikan di negara ini, namun persetujuan semua pihak harus dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Kita akan mengumpul pandangan guru-guru dan ibu bapa terlebih dahulu melalui sumber seperti akhbar dan media, dan pandangan mereka akan dibawa kepada Tan Sri Muhyiddin untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini. Alimuddin juga berpendapat, pendidikan negara selama ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan perubahan perlu dibuat selaras dengan falsafah pendidikan negara yang mementingkan pembangunan modal insan. Sementara itu, beliau berkata, kemasukan pelajar ke sekolah menengah yang dinilai melalui UPSR sebelum ini akan diteruskan dengan penilaian akhir tahun sekolah sahaja. "Kemasukan pelajar ke sekolah menengah akan dinilai melalui peperiksaan penilaian berasaskan sekolah,” katanya. 
 
Petikan Bernama Online 22 Jun 2010 

BANGI, 22 Jun (Bernama) - Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini melibatkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.
"(Ujian khas) ini akan terus digunapakai," kata Shafie kepada pemberita di sini Selasa bagi mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Jun lepas berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. MRSM mengambil kira-kira 9,000 pelajar baru setiap tahun.

Rabu, 16 Jun 2010

*CUTI SEKOLAH SEMESTER PERTAMA*



Pulau Dayang dan Pulau Aur


Zoom Malaysia kali ini memberi tumpuan kepada Pulau Dayang dan Pulau Aur.  Pengalaman keindahan ini dirakamkan dalam koleksi gambar yang dipaparkan.
(Gambar sumbangan Ustaz Edham dan En. Efendy)



Dari kesibukan pusat bandar Johor Bahru, gunakan jalan raya Johor Bahru - Kota Tinggi hingga sampai ke jalan raya Kota Tinggi - Mersing (Lebuhraya 3). Dari Lebuhraya Utara-Selatan, ambil susur keluar ke Ayer Hitam (Persimpangan 244) dan pandu terus menghala ke Kluang melalui Jalan raya Kluang-Jemaluang (Lebuhraya 50). Selepas pekan Jemaluang, masuk ke jalan raya Kota Tinggi-Mersing menghala ke Mersing. Ikuti arahan papan-papan tanda yang menunjukkan jalan untuk ke Jeti Mersing.


Pulau Aur, seperti Pulau Dayang dan Pulau Lang yang terletak di Taman Laut Johor berhampiran Mersing terkenal sebagai salah sebuah destinasi menyelam skuba yang terunggul. Kawasan laut yang lebih dalam di sekitar pulau ini menjanjikan jarak penglihatan bawah laut yang jelas serta pelbagai jenis spesis hidupan laut yang mempesona yang dapat menarik ramai pelancong dan penyelam pada hujung minggu.


Keadaan hidupan laut yang sihat dan pelbagai di sini juga menarik minat pemancing ikan yang berharap dapat menangkap spesis ikan besar seperti ikan mersuji atau ikan layaran di luar kawasan Taman Laut yang terlindung.


Banyak kapal-kapal layar bersauh di perairan laut tenang antara Pulau Aur dan Pulau Dayang.
Terumbu karang utama terletak di sebelah selatan Pulau Aur dan Pulau Pinang. Bahagian teratas terumbu di sini terletak di kedalaman lebih kurang 12 meter dan melandai ke bawah sedalam lebih 25 meter membuatkan lokasi ini amat menarik untuk diselam.  Lihat dan nikmatilah keindahan alam di negara kita.


Rabu, 9 Jun 2010

*TEKA TEKI*

Sempena cuti sekolah kali ini... jom jawab teka teki yang diberi.  Jawapan disediakan di bawah.
(Jangan le cari jawapan dulu...fikir le sikit)



Soalan teka teki:

1.   Dia hidup di udara, darat dan air.   Siapakah dia?

2.   Binatang yang mempunyai 8 kaki dan boleh terbang?

 



3.   Ikan apa banyak di atas jalan raya?

4.   Binatang apa yang selalu sakit perut?

5.   Pada bulan berapa orang kurang bercakap?

6.   Banyak-banyak bas, bas apa yang pandai?

 

7.   Burger apa yang paling happy?

8.   Dari manakah asalnya kapur?

9.   Mempunyai 6 kaki tetapi berjalan 4 kaki

10. Pokok di atas bukit, daun di dalam air

11. Import apa yang penting?

12. Ia tidak boleh dilihat tetapi boleh ditimbang.

13. Saya berada di atas air tetapi tidak boleh berenang atau bergerak.

14. Bom apa yang tidak meletup?

15. Banyak-banyak singa, singa apa yang tak makan daging?

16. Banyak-banyak nasi, nasi apa yang tak boleh dimakan?

17. Kereta apa yang orang tak panggil kereta?

18. Binatang apa yang boleh digunakan untuk menjolok buah?



19. Banyak-banyak bunga, bunga apa warna hitam?

20. Mana lagi tua... motosikal atau kereta?






Jawapan teka teki:

1.   Burung raja udang
2.   4 ekor burung
3.   Kelisa
4.   Ikan kembung
5.   Februari sebab 28 hari je
6.   Bas sekolah le..
7.   Bergembira
8.   Ayam...ayam berak kapur
9.   Penunggang kuda
10. Teh
11. Important
12. Rasa....timbang rasa
13. Jambatan
14. Bomba
15. Singapura
16. Nasihat
17. Teksi
18. Udang galah
19. Bunga tayar
20. Motosikal..sebab pakai tongkat

Selasa, 8 Jun 2010

*ILUSI - PANDANGLAH DENGAN TELITI*

Mata ialah anugerah Allah yang amat berharga.   Pancaindera ini amat istimewa kerana kita dapat melihat dunia menggunakan mata.   Pelbagai keindahan mewarnai dunia ini dan kita mampu menikmatinya berdasarkan pancaindera sepasang mata.

Tahukah kita bahawa mata juga mampu melihat ilusi jika kita fokus dengan teliti.   Pandanglah gambar-gambar di bawah ini.   Apakah anda mampu melihat ilusi?


Gambar 1 - Dapatkah anda melihat wajah di sebalik daun-daun itu?




Gambar 2 - Selain wajah orang tua berjanggut, siapa lagi yang dapat anda lihat?



Gambar 3 - Apakah anda dapat melihat beberapa ekor kuda di dalam gambar ini? 



Gambar 4 - Berapa ekor rusa dalam gambar ini?
 



Gambar 5 - Adakah anda melihat gambar wanita tua atau wanita muda?



Gambar 6 - Cuba lihat dengan teliti, apakah yang dapat anda lihat?



Berjayakah anda melihat gambar ilusi tersebut?  Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk mencapainya.  Selamat mencuba...

Ahad, 6 Jun 2010

*PELAKSANAAN CUTI DUA KALI SABTU SEBULAN*

Kementerian Pelajaran berharap agar cuti dua kali Sabtu sebulan dapat dilaksanakan dengan sempurna di semua sekolah.   Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan guru besar mengeluarkan takwim serta mengatur jadual guru dengan terancang.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata hanya perancangan teratur akan menjamin pelaksanaan cuti dua kali Sabtu itu berjalan lancar dan sebaiknya guru terbabit dimaklumkan lebih awal.
 
“Kita berharap dengan adanya pekeliling itu, tiada pihak lain seperti Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengambil kesempatan untuk melaksanakan program atau kursus pada Sabtu yang sepatutnya menjadi waktu rehat guru.

Apa yang penting, hal berkaitan sekolah dan pelajar perlu diutamakan berbanding program peringkat PPD,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kelmarin mengenai usaha terbaru Kementerian Pelajaran mewajibkan guru besar dan pengetua memberikan guru dua kali Sabtu setiap bulan untuk mengurangkan beban tugas guru di sekolah.

*KERATAN AKHBAR - NEW STRAITS TIMES*

En. Zamani b. Hj. Ahmad, Guru Besar SK Mohd Khir Johari telah menulis artikel di dalam akhbar New Straits Times.   Ini merupakan artikel yang ketiga disiarkan di dalam akhbar Malaysia.   Keratan tersebut telah disiarkan pada hari Rabu,12 Mei 2010.  Artikel yang disiarkan berkaitan dengan isu penggunaan beg di sekolah rendah.   Berikut ialah keratan akhbar yang disiarkan dalam New Straits Times.


Jumaat, 4 Jun 2010

*MINGGU PEPERIKSAAN*

Sepanjang satu minggu bermula 1 Jun hingga 4 Jun, murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 5 menduduki peperiksaan setengah tahun.   Murid-murid Tahun 6 pula telah menduduki UPPM 2 seminggu lebih awal kerana markah yang diperoleh perlu dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru untuk dianalisis sebelum cuti sekolah.

Berikut ialah Jadual Peperiksaan Setengah Tahun tersebut:

Selasa, 1 Jun 2010 - Bahasa Melayu (Kertas 1 dan Kertas 2), Matematik (Kertas 2) dan Pendidikan Islam.
Rabu, 2 Jun 2010 - Matematik (Kertas 1), Bahasa Arab dan Pendidikan Sivik
Khamis, 3 Jun 2010 - Sains, Bahasa Inggeris (Kertas 1 dan 2) dan Kajian Tempatan.
Jumaat, 4 Jun 2010 - Kemahiran Hidup, Penilaian Jawi dan Pendidikan Seni

Kejayaan dalam peperiksaan adalah bergantung kepada usaha, ketekunan dan semangat kita.  Doa dan harapan ibu bapa sentiasa mengiringi setiap langkah perjuangan menghadapi peperiksaan.  Murid-murid akan mula bercuti pada Sabtu, 5 Jun sehingga Ahad, 20 Jun 2010.  Selamat Bercuti!

*PERTUKARAN PN. FADHLINA BT. MOHAMMAD ROHMATULLAH*

Seorang lagi guru dari sekolah ini iaitu Pn. Fadhlina bt. Mohammad Rohmatullah akan meninggalkan SK Mohd Khir Johari kerana berkhidmat di tempat baru iaitu di SK Bandar Puchong (2) Selangor.   Pn. Fadhlina mula berkhidmat di sekolah ini pada 1 Januari 2008.
Pihak sekolah mengucapkan selamat bertugas di tempat baharu kepada Pn. Fadhlina.   Segala jasa baik dan bakti yang telah dicurahkan Allah jua yang membalasnya. Kata-kata akhir Pn. Fadhlina kepada guru-guru dan murid-murid sekolah ini:
Buat semua guru SKMKJ, selamat maju jaya dalam menaburkan ilmu kepada anak bangsa dan ikhlas dalam perjuangan ini.   Buat murid-murid yang disayangi, teruskan usaha dalam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.   Terima kasih semua.

Khamis, 3 Jun 2010

*PERTUKARAN CIK MARYANI BT. YUSOF*

Murid-murid dan warga SK Mohd Khir Johari ingin mengucapkan selamat bertugas di tempat baru kepada Cik Maryani bt. Yusof.   Beliau merupakan kaunselor sepenuh masa di sekolah ini semenjak 1 Januari 2009. En. Maryani akan bertukar ke Sekolah Kebangsaan Taman Suria, Johor Bahru mulai 1 Jun 2010.   Segala jasa dan pengorbanan beliau di sekolah ini amat dihargai.   Sebelum bertukar ke sekolah baharu, Cik Maryani sempat menuliskan kata-kata akhir buat guru-guru dan murid SKMKJ yang disayangi:

Warga SKMKJ yang disayangi,
Terima kasih kerana sudi memberi peluang kepada saya meluahkan isi hati saya ini.  Sebenarnya berat hati saya nak meninggalkan sekolah ini kerana banyak sangat kenangan manis yang saya lalui di sekolah ini dan SKMKJ ini merupakan sekolah pertama saya. Walaupun begitu, saya terpaksa juga pergi ke SK Taman Suria untuk berkhidmat di sana. Semoga warga SKMKJ tidak akan melupakan saya. Kalian tetap tersemat di dalam hati saya. Saya mendoakan semoga SKMKJ No.1 di Johor Baharu. Akhir kata, doakan saya supaya dapat menjalankan tugas dengan baik di sekolah tersebut. Terima kasih warga SKMKJ dan Selamat Maju Jaya. Wassalam.

Rabu, 2 Jun 2010

*ORIGAMI - POLITEKNIK PASIR GUDANG*


Pada hari Rabu 19 Mei yang lalu, kira-kira jam 2.00 petang sekumpulan pelajar dari Politeknik Pasir Gudang  bersama para pensyarah mereka telah mengadakan demonstrasi lipatan origami untuk murid-murid Tahun 3 di sekolah ini.   Aktiviti ini dijalankan di dalam bilik darjah dan di dewan sekolah.

Program Origami ini dimulakan secara rasmi di dewan sekolah dengan ucapan daripada Pn. Inon bt. Markusin iaitu Guru Penolong Kanan Petang.    Ini diikuti dengan taklimat teknik membuat origami oleh pensyarah Politeknik Pasir Gudang.

Kemudian, para pelajar tahun 3 dibahagikan kepada kumpulan - kumpulan kecil agar mudah diberi bimbingan.    Mereka diberi kertas yang berwarna warni.   Ada yang membuat tanglung, sampan, katak, burung dan arnab.  Para pelajar politeknik berusaha dengan gigih membantu murid-murid Tahun 3 menguasai teknik origami yang disampaikan.

Apabila para pelajar berjaya membuat origami yang ditetapkan mereka menggantungkannya pada tali yang telah disediakan.  Para pelajar tersenyum gembira dengan kejayaan mereka.   Begitu juga dengan guru-guru SKMKJ.   Sekalung penghargaan untuk para pelajar Politeknik Pasir Gudang.  Terima kasih daun keladi, lain kali datang lagi ye.